Penyerang Arsenal, Gabriel Jesus cukup berterima kasih kepada penyokong yang kekal setia menanti dan terus beri sokongan kepadanya untuk kembali memainkan peranan besar buat The Gunners untuk menoktahkan kejuaraan Liga Perdana Inggeris musim ini.
Memetik laporan Kosmo, penantian selama enam bulan nyata sesuatu yang berbaloi apabila bintang dari Brazil itu meledak dua gol untuk bantu Arsenal menang 4-1 ke atas Leeds United, kelmarin dan ia menjadi permulaan baik buat Jesus yang tersisih 11 perlawanan ekoran kecederaan lutut dialaminya sebelum Piala Dunia tahun lalu.
Jesus akui gembira kerana mampu membalas kepercayaan peminat dengan jaringan dan kini akan terus berusaha mengembalikan tahap terbaiknya.
“Sesuatu yang bagus dapat kembali beraksi dan menikmati suasana sokongan peminat. Penyokong terus bersatu dan cara mereka berikan sokongan cukup hebat. Saya hanya mahu berterima kasih kepada mereka kerana kekal sokong saya hingga ke saat ini.
“Bukan sesuatu yang senang untuk melihat seorang penyerang tidak dapat menjaringkan gol tetapi mereka sentiasa ada untuk berikan sokongan kepada saya. Saya mahukan jaringan dan sudah pun berlatih ambil sepakan penalti.
“Tidak kiralah bagaimana kami lakukannya dan perkara paling penting adalah dapatkan tiga mata. Saya mahu jaringkan gol untuk bantu pasukan selepas terlepas banyak perlawanan sebelum ini,” katanya.
Dua lagi gol The Gunners dihasilkan oleh Ben White dan Granit Xhaka, manakala jaringan sagu hati Leeds United hadir menerusi Rasmus Kristensen.
Sementara itu, pengendali Arsenal, Mikel Arteta menghamburkan pujian kepada Jesus dan kualiti dipamerkannya menjadi bukti kerja keras dilakukan sepanjang tempoh sukar dilaluinya.
“Saya gembira dengan Jesus dan kami semua bertepuk tangan melihat aksinya. Dia bekerja keras sejak empat ke lima bulan kebelakangan ini dan dia berhak mendapatkan hasilnya.”
Gambar : AFP | Sumber : Kosmo