LEBIH setahun asyik dibanjiri foto kemaluan lelaki gila seks, pelakon Fatin Afeefa kini tidak teragak-agak mengambil tindakan undang-undang terhadap individu terbabit, lapor Kosmo!
Fatin ketika dihubungi Kosmo! berkata, sejak tahun lalu, ruangan peti mesej Instagramnya tidak pernah surut dengan gambar-gambar alat sulit lelaki daripada pelbagai sudut yang dihantar kepadanya.
“Boleh dikatakan hampir setiap hari saya menerima foto lucah. Yang pasti, gambar-gambar itu daripada lelaki serupa.
“Gambar yang dihantar diambil daripada pelbagai sudut seperti di atas katil, dalam keadaan berdiri dan duduk.
“Saya memang tidak pernah membalas mesej yang dihantar. Cuma kadang-kadang naik bosan juga. Saya sudah beberapa sekat akaun tersebut tetapi dia muncul semula dengan akaun baharu,” katanya kepada Kosmo!
Gangguan seksual yang dihadapi Fatin mula mendapat perhatian pengikutnya selepas dia membalas komen seorang pengguna Instagram yang dipercayai individu dimaksudkan Fatin atau nama sebenarnya Fatin Nur Afifah Shamsudin, 26.
“Saya dah report (lapor) polis awak ganggu saya dengan gambar ‘siput sedut’ awak dekat DM,” tulisnya.
Pelakon drama Cindai itu menegaskan, dia tidak akan teragak-agak mengheret individu terbabit muka pengadilan sekiranya masih berdegil meneruskan kegilaan menyebarkan gambar porno dalam media sosialnya.
“Sebenarnya bukan dia seorang sahaja yang kerap mengganggu saya dengan gambar-gambar lucah, ramai lagi lelaki lain melakukan perkara sama.
“Saya boleh gelarkan dia sebagai lelaki gatal yang tipikal dan tidak pernah jemu melakukan perbuatan jijik tersebut saban hari,” ujarnya.
Sekiranya perbuatan tidak bermoral tersebut masih berlarutan dalam tempoh beberapa hari akan datang, Fatin memberi amaran mahu tampil membuat laporan polis.
Ini bukan kali pertama ibu tunggal anak dua itu berdepan insiden sedemikian. Dua tahun lalu, terdapat pengguna Instagram pernah meminta gambar lucah miliknya.
Sumber: Kosmo!