PELAWAK, Ali Puteh mengaku dia mempunyai kekangan untuk membayar RM60,000 memandangkan dia sudah lama tidak menerima tawaran kerja dalam industri hiburan.
Ali atau nama sebenarnya Syed Ali Mubarak Syed Mohd Ridzuan sedaya upaya menggunakan segala platform miliknya bagi menjelaskan bayaran tersebut kepada balu Allahyarham Abam Bocey iaitu Siti Norhidayah secara pukal.
“Memang tawaran saya tidak seperti sebelum arwah Abam meninggal dunia, rasanya sudah lebih kurang enam bulan saya tiada ‘job’. Sekarang saya berniaga di media sosial. Saya gunakan platform apa yang ada untuk cari duit.
“Jadi saya gunakan apa yang saya ada untuk selesaikan bayaran balu Abam. Saya kesal sebab saya bukan penjenayah, di mana saya digari dan dimasukkan dalam penjara, sebaliknya ini hanyalah urusan keluarga tidak membabitkan jenayah, jadi saya pelik sampai begini kerjaya saya terganggu.
“Saya merasakan ia tak adil. Tapi nak buat macam mana, saya harap bila bayaran sudah selesai, isu ini tidak berpanjangan,” luahnya panjang lebar kepada Harian Metro.
Tambahnya, proses pembayaran itu akan diselesaikan sebelum menjelang Hari Raya Aidilfitri tahun ini.
Pada 18 Februari tahun lalu, Mahkamah Sesyen mengarahkan Ali dan tiga ahli keluarganya membayar RM60,000 kepada Hidayah kerana mengeluarkan kata-kata mengaibkan wanita itu di Instagram (IG), dua tahun lalu.
Dalam pada itu, mengenai rumah Abam yang diminta Hidayah, Ali berkata, dia tidak boleh menyerahkan kepada Hidayah kerana rumah itu adalah rumah pusaka arwah ibunya.
Justeru pihak Ali akan membayar saman untuk mengelakkan rumah itu dari disita.
“Ada perselisihan faham mengenai rumah itu yang merupakan pusaka arwah emak saya. Banyak pula peguam bersuara dan saya juga sudah hubungi peguam balu Abam dan mereka minta saya jawab di mahkamah. Tapi saya malas nak teruskan hal ini di mahkamah lagi.
“Jadi kami tolak tepi perkara itu sebab mereka tak tahu apa jadi dengan keluarga kami. Dan selepas berbincang dengan kakak dan adik saya susulan rumah itu disita, kami akan sediakan bayaran saman untuk rumah itu secepat mungkin. Insya-Allah rumah itu akan selamat.
“Kalau selepas kami bayar pun dia mahu ambil rumah arwah emak saya itu, tidak tahulah. Kita sudah bayar, dia nak apa lagi? Sedangkan dia minta kami bayar sebab kami tak bayar saman lagi dan sebab itu ia disita. Tapi kami pelik bukannya sita harta saya sebaliknya harta arwah emak saya,” terangnya.
Sumber gambar – VOCKET | Sumber laporan – Harian Metro