Iman Gembira Hiburkan Pelanggan Dengan Aksi Roti Canai Terbang

KEJADIAN doh roti canai jatuh atas kepala pelanggan selain tersangkut di kipas dan ‘mendarat’ di lantai, antara kejadian yang tidak akan dilupakan penebar roti canai cilik ini.

Biarpun usianya baru sembilan tahun, namun Adli Nur Iman Ahmad memukau pelanggan dengan aksi menebar ‘roti canai terbang’ dengan gaya bersahaja seperti orang dewasa.

Dia yang lebih mesra disapa Iman turut mendapat perhatian warganet di TikTok yang rata-ratanya memuji kemahiran kanak-kanak lelaki itu biarpun masih muda.

Murid Tahun Tiga Sekolah Kebangsaan (SK) Seri Manjung itu mempamerkan aksinya di kedai makan milik bapanya, Ahmad Jusuf, 46, di Jeti Persatuan Nelayan, Kampung Permatang, di sini.

Iman berkata, dia menebar roti canai terbang setiap hujung minggu dan cuti sekolah sahaja kerana tidak mahu mengganggu sesi persekolahan.

Katanya, dia sememangnya minat menebar roti canai dan belajar kaedah yang betul daripada bapanya, sementara ilmu ‘menerbangkan’ roti canai pula dituntut daripada bekas pekerja bapanya.

“Iman mengambil masa dua bulan untuk belajar teknik itu dan selalu berlatih di rumah menggunakan kain atau baju yang dibuat seperti doh roti canai sebelum agak mahir seperti sekarang ini,” katanya yang ketika tinggal di perumahan Fasa 2C Tambahan, di sini.

Akuinya tidak mudah menerbangkan doh roti canai kerana ia lembut, malah agak sukar untuk dipegang sebelum dapat diterbangkan.

“Selalu risau doh akan terkoyak, selain perlu memastikan doh itu jatuh tepat atas tangan semula dengan selamat.

“Ketika Iman mula belajar teknik terbangkan doh roti canai, pelbagai kejadian lucu berlaku seperti doh itu terjatuh di lantai, laut dan kipas,” katanya yang memberitahu kedai makan itu dekat dengan laut menyebabkan angin kuat ‘menarik’ doh diterbangkan ke laut.

Menurutnya, kenangan tidak akan dilupakan apabila doh roti canai yang diterbangkan jatuh atas kepada seorang kanak-kanak lelaki.

“Iman berulang kali minta maaf kepada keluarganya. Itu antara kenangan yang tidak akan dilupakan,” katanya yang bercita-cita menjadi anggota bomba.

Kata Iman, dia gembira dapat menghiburkan pelanggan di kedai makan ayahnya dengan aksi roti canai terbang walaupun hanya ketika tiada sesi persekolahan.

Sementara itu, Ahmad berkata, dia tidak pernah memaksa Adli Nur Iman yang juga anak bongsu daripada tiga beradik itu belajar menebar roti canai tetapi minat ditunjukkan menyebabkan dia bersetuju menurunkan ilmu membuat roti canai.

“Akademik tetap menjadi keutamaan dan menebar roti ini adalah kemahiran, sebagai kelebihan tambahan untuk Iman kelak. Lagipun tak semua minat belajar teknik terbangkan doh terutama kanak-kanak.

“Dua lagi anak saya adalah perempuan dan anak kedua berusia 13 tahun juga boleh menebar dan sedang belajar teknik menerbangkan doh dengan Iman,” katanya.

Menurutnya, kehadiran anaknya di kedai makan juga membolehkan dia melihat dan lebih menghargai usaha ibu bapa mencari rezeki sekali gus mendorong untuk belajar bersungguh-sungguh.

“Berniaga dan menebar roti canai ini memang penat, kita banyak berdiri daripada pagi. Jadi Iman tahu macam mana susahnya kami mencari rezeki dan saya harap dia dapat belajar dengan baik,” katanya.

Sumber : Harian Metro