KRU bersama Icon Entertainment baru-baru ini mengumumkan bahawa rangkaian konsert mereka akan diperluaskan ke Singapura, berikutan sambutan luar biasa yang diterima daripada para peminat di sana. Keterujaan dan euforia yang ditunjukkan oleh peminat menerusi ruangan komen di media sosial jelas membuktikan betapa kuatnya sokongan terhadap kemunculan semula kumpulan ikonik ini.
Namun begitu, di sebalik usaha gigih yang telah dicurahkan oleh pihak penganjur, muncul pula pihak tidak bertanggungjawab yang cuba mengambil kesempatan dengan menjual barangan tiruan berkaitan konsert ini di platform e-dagang. Difahamkan, rekaan eksklusif untuk merchandise rasmi konsert telah dicuri dan dijual secara haram melalui platform seperti Lazada & Shopee tanpa sebarang kebenaran. Tindakan ini secara jelas melanggar undang-undang hak cipta dan menjejaskan integriti karya seni tempatan.
Menurut Iman Tang, selaku penganjur konsert, beliau melahirkan rasa amat kecewa terhadap insiden ini. Kekecewaan tersebut turut dikongsi oleh pihak KRU sendiri, yang melihat perbuatan ini sebagai satu bentuk pengkhianatan terhadap segala usaha keras yang telah dicurahkan oleh seluruh pasukan.
KRU dan Icon Entertainment memandang serius perkara ini dan sedang dalam proses menghantar surat peringatan serta mengambil tindakan rasmi terhadap platform Lazada & Shopee . Tindakan ini diambil bagi memastikan tiada lagi pihak yang sewenang-wenangnya mencuri atau mengambil keuntungan daripada hasil titik peluh insan seni tempatan.
Pihak yang didapati bersalah kerana menjual merchandise menggunakan elemen seperti logo, gambar, lirik lagu, atau rekaan grafik tanpa kebenaran boleh dikenakan tindakan di bawah Akta Hak Cipta 1987. Antara hukuman yang boleh dikenakan ialah:
• Denda sehingga RM20,000 bagi setiap salinan barang yang melanggar hak cipta.
• Penjara sehingga lima (5) tahun, atau kedua-duanya sekali.
Selain itu, jika barang yang dijual menggunakan nama artis, logo, atau simbol yang telah didaftarkan sebagai cap dagangan, pelaku boleh didakwa di bawah Akta Cap Dagangan 2019, dengan hukuman:
• Denda sehingga RM1 juta.
• Penjara sehingga lima (5) tahun, atau kedua-duanya.
Kepada pihak yang terlibat, bersiap sedialah untuk berhadapan dengan tindakan undang-undang yang sewajarnya. Industri hiburan tanah air seharusnya dibina dengan semangat kerjasama dan saling menghormati, bukan dengan meraih keuntungan melalui eksploitasi hasil kerja seni orang lain. Marilah kita bersama-sama memartabatkan industri muzik Malaysia dengan cara yang lebih bermaruah.