PENGACARA dan pelakon sensasi, Azwan Ali atau lebih dikenali dengan panggilan Diva AA Tersohor memang terkenal dengan kelantangan bersuaranya dalam menyuarakan pendapat termasuklah isu menegur pengacara dan usahawan Noor Neelofa dan suami yang seolah-olah tidak serik melanggar SOP.
Sehubungan hal itu, Diva AA turut memuat naik ‘perutusan khasnya’ dengan mengecam golongan ‘keras kepala’ yang masih melanggar SOP walaupun kes Covid 19 naik mendadak.
Terbaru, pihak Royal Malaysia Police (RMP) atau PDRM telah melakukan kolaborasi dengan Diva AA untuk memberi pesanan ‘pedas’ kepada segelintir rakyat Malaysia yang masih tidak serik mengingkar arahan SOP.
Menerusi video yang dimuat naik di Youtube PDRM RMP TV Channel, Diva AA telah diberikan peluang untuk menggunakan platform yang dikendalikan sepenuhnya oleh pusat media Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman.
Menurut Diva AA, ‘Perutusan Khas COVID-19 Part 1’ itu dipenuhi dengan ‘semburan’ pedas dan kecaman khususnya kepada mereka yang bersikap buta hati dek kerana seakan bersikap ‘egois’ melanggar SOP sehingga menjadi punca rantaian COVID-19 meningkat selepas sambutan syawal pada tahun ini.
“Perutusan ini khusus kepada rakyat Malaysia yang degil, menjengkelkan (annoying), buta hati dan tidak reti bahasa, melanggar SOP punca bawa peratus COVID-19 meningkat!”, katanya dalam nada berang.
Jelasnya lagi, “Yang mana menggelupur balik kampung kononnya rindu, pasangan jarak jauh (PJJ), yang degil pergi pusat membeli-belah yang penuh dengan virus, dan juga buat mereka yang pergi beraya dan majlis sana sini, mesej penuh ‘makian’ ini ditujukan khas kepada golongan seperti anda”.
Diva AA turut berkata, kes positif COVID-19 di kawasan ‘kampung’ tidak akan meningkat seandainya sesetengah rakyat Malaysia ini tidak menjadi cacing kepanasan berkeras mahu pulang ke kampung dan menjadi ‘silent carrier’ sehingga ada yang sanggup menipu pihak PDRM demi mendapat kelulusan rentas negeri.
Tambahnya lagi, golongan yang pentingkan diri ini seolah-olah hanya semakin menyusahkan pihak polis untuk memeriksa dan mengadakan kompoun beratus kali kepada mereka.
Menjengah di ruangan komen, rata-rata warganet bersetuju dengan tindakan pihak PDRM yang telah mengambil Diva AA untuk mewakili golongan selebriti di tanah air bagi memberi ‘teguran’ dalam bentuk makian kepada mereka yang masih berdegil. Mereka juga berpendapat bahawa rakyat Malaysia wajar menerima teguran kasar seperti itu kerana mereka seolah-olah tidak mengendahkan arahan pihak berkuasa.
Sumber: Koolfm