ALOR GAJAH – Kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri memerlukan bantuan kewangan dari kerajaan Persekutuan untuk membangunkan lebih banyak prasarana dan projek mega untuk rakyat di kawasan itu.
Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, di bawah pentadbiran kerajaan pusat yang lalu, pelbagai pembangunan telah dilaksanakan di Nenggiri, termasuk Lebuh Raya Lingkaran Tengah Utama (CSR) yang melalui pinggir jalan utama Gua Musang dan Kuala Krai.
Beliau yang juga Timbalan Menteri Kerja Raya berkata, CSR adalah hadiah kerajaan Persekutuan kepada rakyat Kelantan dan segala pembangunan yang dilaksanakan adalah untuk mereka. Gua Musang adalah kawasan luar bandar yang memerlukan kewangan kuat dari kerajaan pusat untuk dibangunkan kerana kerajaan negeri tidak mampu.
Ahmad Maslan berharap pengundi menyedari bahawa hanya kerajaan pusat yang mampu melaksanakan pembangunan besar di Gua Musang.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan Konvensyen Kumpulan Inovatif dan Kreatif (KIK) Jabatan Kerja Raya (JKR) 2024, di Pusat Kecemerlangan Kejuruteraan dan Teknologi JKR (CREaTE) Simpang Ampat, pada Selasa.
Pada 19 Jun, Speaker DUN Kelantan, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah mengumumkan kerusi DUN Nenggiri kosong selepas Mohd Azizi Abu Naim digugurkan keahlian oleh Bersatu pada 13 Jun. Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari penamaan calon dan pengundian awal PRK itu masing-masing pada 3 Ogos dan 13 Ogos, manakala 17 Ogos sebagai hari pengundian. – Bernama