SIAPA sangka individu yang dipukul, dihentam, dihumban ke dalam penjara dan dipecat jawatan kedua tertinggi negara satu ketika dahulu, kini berada di tampuk kepimpinan sebagai Perdana Menteri Malaysia ke-10 bagi meneruskan agenda reformasinya yang tertangguh.
20 September, tarikh keramat bagi memperingati detik permulaan gerakan reformasi pada tahun 1998 yang ketika itu berlangsung di Dataran Merdeka.
Pada tarikh itu, Anwar telah ditahan di kediamannya di Bukit Damansara lalu di bawa ke lokap polis, ditumbuk hingga lebam matanya hingga menjadi pencetus kepada gelombang kebangkitan rakyat sewaktu Pilihan Raya Umum (PRU) tahun berikutnya.
Bagi mengimbau kembali sejarah perjuangan PMX, Himpunan keadilan, Suara Rakyat Suara Keramat akan diadakan secara besar-besaran di Stadium Axiata Bukit Jalil pada esok (20 September) dan beliau menjemput semua rakyat Malaysia untuk turut serta menelusuri kisah permulaan reformasi itu.
Himpunan ini juga akan turut mengetengahkan ramai golongan reformasi ‘otai’ yang dahulunya berani menjadi wakil suara rakyat.
“Himpunan ini sememangnya akan membuatkan sesiapa yang hadir seperti menjalani sebuah memori dan itu juga adalah konsep yang kita akan ketengahkan pada Jumaat ini,” kata Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar dalam sidang media, semalam.
Tambahannya, inti pati himpunan ini juga bukan sahaja tertumpu kepada sejarah perjuangan semata-mata malah menjadi platform yang sama dalam membangunkan negara ini ke arah yang lebih baik.
“Sebab itu, kita memberi peluang kepada rakyat, golongan guru, jentera dan media sendiri untuk menyampaikan harapan mereka pada masa yang akan datang.
“Walaupun apa yang berlaku dahulunya adalah satu detik hitam, terus terang saya sebenarnya bersyukur kerana semua yang datang daripada Allah itu membawa hikmah tersendiri,” jelasnya.