POKOK SENA: Seramai 2,194 mangsa banjir ditempatkan di 11 pusat pemindahan sementara (PPS) di enam daerah Kedah membabitkan 388 keluarga setakat 8.20 pagi tadi.
Menurut laman sesawang Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Kedah menjadi negeri paling tinggi mangsa banjir yang melibatkan Pokok Sena (1,000 orang), Kubang Pasu (301 orang), Kulim (108 orang), Kuala Muda (61 orang) dan Kota Setar (53 orang).
Selain Kedah, Pulau Pinang menjadi negeri kedua mangsa banjir tertinggi iaitu 635 orang diikuti Sabah (303 orang), Sarawak (105 orang), Perlis (45 orang) dan Kuala Lumpur seramai sembilan orang.
Ia susulan hujan lebat di beberapa kawasan mengakibatkan beberapa PPS dibuka sejak malam tadi di Perlis melibatkan Sekolah Kebangsaan (SK) Sena, Kangar dan PPS SK Arau.
Seterusnya di Kedah pula, akibat hujan lebat berterusan selama beberapa jam menyebabkan 11 kampung daripada tiga mukim iaitu Mukim Guar Kepayang, Ayer Puteh dan Padang Pusing berlaku peningkatan aras sungai mendadak.
Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Perlis dan APM Kedah masing-masing bersama lain-lain agensi telah memindahkan mangsa dan membantu JKM di PPS.
Hal itu menjadikan keseluruhan mangsa di enam negeri ialah 3,288 mangsa daripada 679 keluarga yang ditempatkan di 27 PPS.