5 Pegawai dan Anggota PGA Terima Penghargaan KPN Kerana Tolak Rasuah

KUALA LUMPUR – Lima pegawai dan anggota Briged Tenggara Pasukan Gerakan Am (PGA) menerima Surat Penghargaan daripada Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain, atas kecekalan mereka menolak sogokan RM50,000 semasa Operasi Taring Wawasan Kelantan pada 9 Disember lalu.

Penghargaan itu diberikan kepada ASP Mohd Norzahirudin Jufri, Inspektor Muhamad Hanif Abd Halim, Sarjan Osmizan Osman, Koperal Mohd Shariffuddin Sulaiman, dan Koperal Wan Mohd Abbasi Wan Abdllah @ Wan Mamat.

Dalam operasi di Kota Bharu tersebut, mereka berjaya menahan 16 pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Myanmar dan tiga tekong, meskipun ditawarkan wang oleh ejen sindiket penyeludupan migran sebagai imbuhan untuk melepaskan suspek.

Tan Sri Razarudin memuji integriti mereka, menyeru agar tindakan tersebut menjadi teladan kepada seluruh warga PDRM. Turut hadir dalam majlis penghargaan ialah DCP Datuk Mohamad Suzrin Mohamad Rodhi dan SAC Datuk Nik Ros Azhan Nik Ab Hamid.