JIKA diimbas kembali, kumpulan Satwo sebelum ini dikenali melalui lagu Untok Kita, sebuah lagu yang mengangkat genre folk rock atau psych pop dan telah mengundang pelbagai persoalan dari pelbagai pihak kerana mendendangkan melodi dan irama yang mistik dan berhantu iaitu sesuatu yang baru dan jarang dibawa oleh pemuzik lain dalam industri tempatan.
Kini, mereka sekali lagi menghantui dunia muzik dengan single kedua mereka yang berjudul Gelap.
“Gelap adalah sebuah lagu tentang seseorang yang dihantui kisah silamnya dan ingin keluar mencari sesuatu yang lebih baik untuk dirinya. Di hujung lagu kita dapati beliau telah pun menemui cahaya di hujung terowong”, kata gitaris merangkap vokalis Satwo, Rafiz.
Produser, Ilham Pitahati juga berkata, “Ini adalah antara lagu kegemaran saya waktu mereka menghantar demo pertama mereka kepada saya dahulu. Kuat hati saya merasakan bahawa lagu ini bakal hit”.
Antara ciri-ciri unik yang ada pada muzik Satwo adalah keakraban vokal mereka yang sentiasa diiringi harmoni dan ad lib dari kedua vokalis Satwo iaitu Rafiz dan Maz.
Dalam pada itu, memandangkan mereka hanya mempunyai dua orang ahli utama, Satwo juga bebas untuk berkolaborasi dengan pelbagai jenis musisi mengikut kepada citarasa mereka dan kesesuaian pada lagu.
Gelap adalah satu daripada sepuluh buah lagu di dalam album mereka yang dijangka akan dirilis hujung tahun ini dan boleh didengari di pelbagai platform streaming.