Malam yang penuh bermakna pada 1 Jun 2024, seramai lebih 10,000 penonton hadir ke konsert Ada Apa dengan Melly & Friends by Iman Tang (Malam Graduasi) di Axiata Arena, Bukit Jalil, untuk menyaksikan persembahan istimewa dari guru besar yang diterbangkan khas dari Indonesia, Melly Goeslow. Melliana Cessy Goeslow, atau lebih dikenali sebagai Melly, memberikan sepenuh hati dalam persembahannya, menjadikan malam tersebut sebagai satu kenangan tak dapat di lupakan.
Lebih 10,000 peminat menyemarakkan suasana konsert dengan kehadiran mereka, sehingga tiket habis terjual. Para penonton yang hadir membanjiri lokasi konsert, menjadikan malam graduasi ini lebih bermakna dengan pakaian sekolah dan yang paling lebih bermakna pihak penganjur “Icon Entertainment – Iman Tang” memberikan topi graduasi secara percuma bagi memberikan pengalaman yang seakan akan nyata dalam dewan graduasi.
Situasi semakin mendebarkan apabila Melly membuka tirai persembahannya dengan lagu “Tak Tahan Lagi.” Penonton yang memenuhi setiap ruang di Axiata Arena turut mengiringi lagu tersebut bersama Melly yang muncul di atas pentas dengan penuh tenaga.
Melly, yang digelar Ratu Runut Bunyi Filem, menyampaikan 23 buah lagu, termasuk sebuah lagu tambahan. Persembahan diteruskan dengan lagu-lagu hebat hasil ciptaannya seperti “Ingin Mencintai dan Dicintai,” “Pencinta Wanita,” “Berdua Lebih Baik,” “Bimbang,” “Denting,” dan “Ayat-Ayat Cinta.”
Selain menyanyi, Melly juga beramah mesra dengan peminatnya, memberikan hadiah kepada penonton, sebelum menukar busana untuk meneruskan persembahan. Setelah menukar pakaian, Melly menyanyikan lagu-lagu malar segar seperti “My Heart,” “Biarlah Rahsia” oleh Datuk Seri Siti Nurhaliza, “Menghitung Hari,” dan “Atas Nama Cinta” secara medley.
Konsert turut diserikan dengan kehadiran Joe Flizzow yang mempersembahkan lagu “Jika” dalam versi rap, serta kemunculan istimewa Puteri Arianie yang berduet dengan Melly dalam lagu “Cinta,” “Cinta Sejati,” dan “Kamu Dan Kenangan” secara medley. Suasana semakin hangat dengan aksi tarian aktif dan muzik orkestra yang memukau.
Sebelum melabuhkan tirai, Melly mengucapkan terima kasih kepada Joe Flizzow dan Puteri Arianie atas kehadiran dan hiburan mereka. Menyedari peminat masih belum puas berhibur, Melly membakar adrenalin mereka dengan lagu-lagu seperti “Hey Ladies,” “Hanya Memuji,” “Let’s Dance Together,” “Salah,” “Bagaikan Langit,” “I Just Wanna Say I Love You,” dan “Kubahagia.” Ketika lagu “Bagaikan Langit” didendangkan, beratus-ratus bola dijatuhkan, menjadikan zon Pendidikan Jasmani gamat dengan aksi melambung bola ke udara.
Penganjur turut memberikan bendera kecil Palestin secara percuma, ini menunjukkan keperihatinan Melly dan Penganjur yang begitu peka dengan keadaan yang sedang berlangsung di Palestin.
Terdapat segmen Melly menjemput peminat naik ke atas pentas bagi menciptakan lagu secara spontan untuk Palestin.
“Kita boleh meraikan konsert dan berhibur, tapi kena sentiasa ingat akan situasi yang berlaku di Palestin,” kata Melly dengan penuh emosi. “Lagu ini saya hibahkan kepada sesiapa sahaja di sini yang ingin menggunakannya. Kalau ada yang nak gunakannya, saya dan dua penonton yang hasilkannya hadiahkan dengan ikhlas,” tambahnya.
Melly juga menegaskan bahawa situasi di Palestin harus diberikan perhatian dan bukan hanya terbatas kepada agama atau bangsa tertentu sahaja. “Bukan kerana anda seorang yang beragama Islam, Kristian, Buddha, Hindu atau apa agama sekalipun. Tak perlu menjadi bangsa negara Malaysia, Indonesia atau apapun. Tapi, kita perlu menjadi manusia dan melihat dari sudut kemanusiaan,” tegasnya.
Dalam segmen tersebut, Melly menjemput dua penonton naik ke pentas untuk menyertainya menghasilkan sebuah lagu istimewa. Beliau meminta mereka memberikan beberapa kata sebagai lirik, lalu menggunakan kreativiti spontan serta iringan orkestra untuk menghasilkan sebuah lagu yang menyentuh hati dan menitiskan air mata.
Konsert yang berjaya ini, bertemakan malam graduasi sekolah, dibawa khas oleh AKE Group dengan kerjasama Icon Entertainment. Penganjur, Iman Tang, mengumumkan bahawa konsert ini akan diteruskan dengan “Ada Apa Dengan Melly: Prom Night” yang dijangka berlangsung pada 31 Mei 2025.