BUANG yang keruh ambil yang jernih. Itulah peribahasa mengenai masalah rumah tangga Shuk Sahar dan isterinya, Rossalennah Natassyiah Asshaferah yang berantakan didakwa akibat kehadiran orang ketiga sebelum ini kini kembali pulih, lapor Kosmo!
Lebih dramatik, kesungguhan Shuk untuk menawan semula hati isterinya dilakukan dalam suasana penuh kejutan apabila muncul lengkap berpakaian pengantin seperti membawa rombongan ‘meminang’ semula isterinya itu.
Kejutan itu dilakukan semasa Rossalenna atau Sera sedang memperkenalkan produk kecantikan secara langsung di Instagram.
“Isteri terkejut melihat saya muncul dengan pakaian pengantin.
“Dia tidak tahu perancangan ini, saya sendiri pun berasa gementar seperti hari pertama kami bernikah. Alhamdulillah, hubungan saya dengan isteri sudah okey dan kami kembali hidup sebumbung,” katanya kepada Kosmo!
Penyampai Hot FM itu bagaimanapun tidak mahu bercerita lanjut cara dia memujuk sehingga mampu menambat semula hati isterinya.
Jelas Shuk, rakannya dikenali sebagai Joe bertindak sebagai ‘pembuka jalan’ untuk dia tampil meminta maaf dan bersemuka dengan isteri.
Ditanya mengenai dakwaan yang mengatakan ia sebagai gimik bagi mempromosikan produk, Shuk enggan melayan tanggapan itu.
“Kalau fikir gimik, saya tidak sanggup buat perkara yang menjejaskan keharmonian rumah tangga hingga digantung kerja,” katanya.
Sumber: Kosmo!