Pengasas produk kosmetik dakwa diperdaya bekas isteri Da’i Farhan, rugi lebih RM50,000

NAMA bekas isteri kedua kepada pendakwah selebriti, Da’i Farhan iaitu Erin kembali hangat diperkatakan apabila didakwa melakukan penipuan membabitkan bekalan produk kecantikan.

Erin atau nama sebenarnya Noorainul Naqim Mohd Radzi, didakwa telah memperdaya seorang pengasas produk kosmetik, Norsiyah Kasnawi hingga mengakibatkan kerugian mencecah lebih RM52,900, lapor Boom.

Mangsa yang ingin dikenali sebagai Nor itu berkata, dia mengenali Erin yang sebelum ini pernah tular dengan kisah cinta ‘Aura 19’ itu ketika masih bergelar isteri kepada Farhan.

“Saya mesejnya di Instagram untuk memberikan kata-kata semangat kerana pada masa itu dia dikecam teruk oleh masyarakat.

“Bermula dari situ, lama kelamaan hubungan jadi rapat dan kami mula bekerjasama dalam perniagaan kosmetik yang saya usahakan.

“Erin bertindak sebagai pembekal produk penjagaan kulit yang dikeluarkan di bawah jenama saya sendiri iaitu N’Siya. Pada masa sama, dia turut tawarkan khidmat reka bina laman web.

“Sepanjang berkawan, mulanya saya tidak syak apa-apa. Apabila semakin rapat, dia sudah berani untuk meminjam wang, namun atas dasar percaya, saya berikan pinjaman,” kata Nor kepada Boom.

Laporan polis yang dibuat mangsa.

Kata Nor lagi, Erin sebagai pembekal telah bersetuju untuk menyedia dan menyiapkan produk keluaran N’siya, malah wang pendahuluan juga didebitkan ke akaunnya.

Malangnya, kata-kata wanita terbabit hanya tinggal janji setelah produk dipersetujui gagal disiapkan sehingga kini.

“Lebih teruk, Erin turut memperkenalkan seorang lelaki bernama Taufik yang kononnya pekerja di syarikatnya untuk mereka bina laman web rasmi perniagaan saya.

“Pun begitu, Taufik yang sudah diberikan pembayaran penuh RM12,000 masih belum menyerahkan kata kunci dan akses untuk saya mengendalikan laman web dibinanya.

“Bahkan laman web itu juga tidak seperti yang dirancangkan seperti di peringkat awal,” dedahnya lagi.

Nor bersama Erin.

Menurut Nor, dia telah membuat laporan di Balai Polis Bukit Raja, Klang dan menyerahkan pihak berkuasa untuk membuat tindakan lanjut.

Tambahnya lagi, Erin bakal diheret ke mahkamah memandangkan Nor telah pun melantik peguam untuk mewakilinya bagi menuntut keadilan selepas ditipu.

Sumber: Boom