USAHAWAN kosmetik kontroversi yang juga dalam buruan polis, Muhammad Sajjad Kamaruzzaman, 36 tahun memaklumkan telah berhijrah ke Australia.
Menerusi perkongsian yang dibuat secara langsung di Instagramnya, dia yang lebih dikenali sebagai Nur Sajat memberitahu tidak akan pulang lagi ke negara ini.
Ketika ini, Nur Sajat dikatakan dalam proses menjalani kuarantin di Canterbury.
“Saya berasa sangat bahagia kerana sudah bebas dan boleh menjadi diri sendiri,” kata Sajat ketika menjawab persoalan di ruangan komen Instagram.
Selain itu, Nur Sajat turut memaklumkan telah menjual segala perniagaannya di negara ini dan akan memulakan perniagaan baharu di Australia.
Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Abd Jalil Hassan ketika dihubungi berkata, tidak menerima sebarang maklum balas mengenai perkara itu.
Pada September lalu, Astro AWANI melaporkan, usahawan kosmetik berkenaan dikatakan mempunyai kad pelarian Suruhanjaya Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Bagi Pelarian (UNHCR) bagi tujuan berpindah ke Australia.
Mahkamah Tinggi Syariah pada 23 Februari lalu, mengeluarkan waran tangkap terhadap Nur Sajat kerana gagal hadir pada prosiding kes berpakaian wanita tiga tahun lalu.