TINDAKAN penyanyi, Asad Motawh yang tular di media sosial baru-baru mendapat perhatian warganet apabila dia memasang lampu biru persis seperti lampu yang digunakan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Melalui perkongsian yang dimuat naik oleh pengguna Twitter, video tersebut menunjukkan Asad menaiki sebuah kereta mewah. Namun, apa yang menjadi persoalan adalah apabila kenderaan tersebut telah dipasangkan lampu biru.
Selain itu, lampu biru tersebut juga kelihatan berkelip-kelip ketika kereta tersebut sedang menyusuri trafik di jalan raya.
Menurut sumber, video berkenaan memaklumkan bahawa Asad menggunakan lampu tersebut kerana terdesak ingin mengejar masa.
Walau bagaimanapun, warganet telah bertindak mempersoalkan perkara itu dengan menyertakan sekali akaun media sosial PDRM dan Polis Trafik bagi memaklumkan hal berkenaan.
Sehubungan itu, pihak Polis Trafik telah ambil maklum mengenai isu berkenaan dan memberitahu pihaknya akan menjalankan siasatan.
Mereka juga mengucapkan terima kasih kerana memberikan maklumat berhubung tindakan yang dilakukan oleh penyanyi berkenaan.
Dalam pada itu, ramai pihak juga memandang serius isu ini kerana ia tidak boleh dilakukan sesuka hati selain itu berharap agar pihak polis memastikan orang yang tidak bertanggungjawab ini tidak terlepas dari sebarang tindakan undang-undang.