PENYANYI Aiman Tino tampil memohon maaf sekali gus menjernihkan keadaan yang berlaku susulan status yang dimuat naik ibunya Hazelina Mat Jalil semalam, lapor Kosmo!
Aiman atau nama sebenarnya Mohammad Aiman Yusri, 23, menyatakan, semua yang berlaku disebabkan salah faham dan mengakui ia berpunca daripada kesilapannya sendiri.
“Semuanya berlaku disebabkan salah faham. Saya tidak menjawab panggilan dan balas WhatsApp ibu dan ayah disebabkan terlalu sibuk dengan urusan kerja.
“Menjawab panggilan keluarga juga sudah menjadi satu kebiasaan sejak dulu, tapi disebabkan berlaku begini, keluarga saya yang dicari. Saya benar-benar mohon maaf,” katanya kepada Kosmo!
Tambah pelantun lagu Terlerai Sebuah Janji itu, dia sudah pulang ke rumah keluarganya di Kuala Kubu Bharu, Selangor semalam dan menjelaskan semua salah faham yang berlaku kepada ibu bapanya.
Menjawab dakwaan ibunya yang mengatakan dia kini dikongkong seorang wanita bernama Farah, Aiman mengakui mereka berkawan atas urusan kerja.
“Mohon jangan dibabitkan orang luar dalam isu ini. Saya memohon maaf bagi pihak keluarga saya kepada keluarga wanita yang disebut ibu saya semalam.
“Harap isu ini sampai di sini. Saya tak mahu keruhkan keadaan lagi.
“Saya faham ibu saya risau tentang saya. Itu tanda sayang seorang ibu terhadap anaknya,” katanya.
Kosmo! semalam melaporkan Hazelina menerusi Instagramnya terkilan dengan sikap anaknya yang dikatakan mula berubah selepas mengenali seorang wanita bernama Farah.
Sumber: Kosmo!