PENGACARA Azwan Ali atau lebih dikenali sebagai Diva AA lantang menyuarakan tentang isu Neelofa yang sekali lagi dikatakan melanggar prosedur operasi standard (SOP) apabila berkumpul dengan keluarga besarnya pada Aidilfitri lalu.
Azwan atau nama sebenarnya Mohamed Azwan Ali meluahkan rasa kesal dengan tindakan selebriti berkenaan kerana ini merupakan kali ketiga didakwa melanggar SOP tatkala negara masih bergelut dengan wabak Covid-19.
Adik kepada Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali itu juga menggesa dan mencadangkan agar Neelofa dikenakan hukuman penjara atas kesalahan yang dilakukannya melalui ciapan di Twitter.
Tulisnya, “Diva AA rakyat pertama yang minta kerajaan untuk penjarakan selebriti ini! Penjara! Siapa setuju? Tag sesiapa sahaja yang tidak setuju! Dapat RM200!”.
“Dua kali dah kau gelupur langgar SOP. Ini kecoh kali ketiga. Lagi-lagi muka kau. Muhasabah weh, kerana kau rakyat tersinggung dan marah. Apa sumbangan besar kau pada industri hiburan Malaysia!,” jelasnya lagi melalui Twitter.
Baru-baru ini, tular sebuah video menjadi perhatian dan bualan netizen yang menunjukkan keluarga Neelofa sekali lagi didakwa melanggar SOP Aidilfitri seperti yang ditetapkan oleh pihak berkuasa.
Video berdurasi 27 saat itu tidak sengaja dikongsi oleh kakaknya Nabila dan jelas menunjukkan ahli keluarga Neelofa berkumpul pada pagi Syawal dan sedang bersalaman meminta maaf antara satu sama lain.