PENYANYI rap, Joe Flizzow sekali lagi trending di Twitter hari ini gara-gara didakwa membiarkan terhasilnya lagu kolaborasinya mempersendakan nama Allah iaitu tuhan bagi seluruh umat Islam.
Menurut warganet, lagu Twisted Dreams yang dinyanyikan oleh penyanyi rap Korea Selatan, Jay Park yang menampilkan Jay Electronica, Joe Flizzow dan DJ Wegun itu berbunyi seperti “stop for Allah, all we want is salam salam” dan telah mengundang rasa kurang senang pendengar.
Untuk pengetahuan, lagu tersebut telah dilancarkan pada 13 Jun tahun lalu dan ada yang menyifatkan jika benar lirik tersebut ‘mempersenda’ nama Allah, Joe Flizzow didakwa tidak sensitif dengan agama kerana membiarkan lagu kolaborasi tersebut dikeluarkan.
Walau bagaimanapun, ada juga pihak menjelaskan bahawa bahagian lagu yang dinyanyikan oleh Jay Electronica itu adalah “astagfirullah” dan bunyi itu menjadi lain kerana sebutan pelat penyanyi berkenaan.
Joe Flizzow turut memberi penjelasan melalui video yang dimuat naik di Instastory mengapa lagu itu menggunakan nama Allah adalah kerana Jay Electronica adalah seorang yang menganuti agama Islam.
“Mengapa lagu itu ada nama Allah? Jawapannya sebab dia orang Islam”, katanya.
Menerjah ke ruangan Twitter, ramai pengguna meluahkan rasa kecewa kepada Joe Flizzow dan Jay Park utamanya.