Kuala Lumpur: Keselamatan internet untuk kanak-kanak membabitkan pendidikan, pengawasan ibu bapa dan kesedaran masyarakat tentang pentingnya menjaga keselamatan dan kesejahteraan golongan berkenaan.
Kuat kuasa 11 Februari lalu, Pindaan Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) jamin keselamatan dalam talian lebih baik membuktikan usaha kerajaan terus memperkukuh keselamatan dalam talian dan menyediakan ruang digital lebih selamat.
Pengarah Eksekutif, Jabatan Kesarjanaan Digital dan Maklumat Semesta, Universiti Malaya (UM), Prof. Ts. Dr. Ainuddin Wahid Abdul Wahab berkata pindaan itu menyediakan ekosistem rangkaian internet lebih selamat dan lestari bagi pengguna terutama kanak-kanak.
Katanya, keselamatan internet untuk kanak-kanak adalah isu yang sangat penting kerana mereka lebih terdedah kepada pelbagai risiko dalam talian.
“Pindaan ini membantu perlindungan lebih ketat terhadap kanak-kanak terutama mengukuhkan kawalan terhadap penyebaran kandungan berunsur lucah, ganas atau eksploitasi kanak-kanak.
“Akta ini juga meningkatkan hukuman terhadap individu atau entiti yang menyalahgunakan platform komunikasi untuk tujuan pemangsaan kanak-kanak.
“Ia juga dapat memerangi penyebaran maklumat palsu dan siber buli menerusi langkah pemantauan dan tindakan terhadap penyebaran berita palsu boleh ancam keharmonian negara dan keluarga,” ujarnya lanjut.
Ainuddin Wahid bimbang dengan keselamatan kanak-kanak era digital.
Dianggarkan, jumlah kes jenayah dalam talian pada 2024 yang mencecah 35,368 kes dengan nilai kerugian lebih RM1.5 bilion membuktikan bahawa pindaan tersebut tepat pada masanya.
Sehubungan itu, sempena meraikan Hari Keselamatan Internet 2025, Kementerian Komunikasi memulakan Jelajah Kempen Keselamatan Dalam Talian, digerakkan melalui Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC).
Katanya pendidikan tentang bagaimana mengenal pasti penipuan, perbualan berbahaya dan kandungan tidak sesuai sangat penting.
“Kanak-kanak perlu diajar tentang privasi dalam talian, seperti tidak berkongsi maklumat peribadi dengan orang yang tidak dikenali.
“Mereka perlu tahu apa sahaja yang dikongsikan boleh memberi kesan negatif pada masa hadapan terutama berkenaan reputasi peribadi dan peluang pekerjaan,” tuturnya.
Mohd Hafis menyarankan ibu bapa lebih teliti dalam memantau anak dan penggunaan internet.
Selain itu, bapa anak lima pula, Mohd Hafis Mohd Shahar, teknologi menjadi alat pendidikan sangat berguna untuk pembelajaran dan perkembangan kanak-kanak jika digunakan dengan cara yang selamat dan beretika.
Pindaan itu memberi perlindungan lebih menyeluruh kepada pengguna dengan mengatasi ancaman baharu dalam era digital.
“Ibu bapa perlu memastikan anak-anak selamat dalam talian dengan menjaga tingkah laku baik merangkumi menghormati privasi orang lain, berinteraksi secara positif dengan rakan sebaya dan mengelakkan kandungan yang tidak sah atau berbahaya.
“Ini termasuk menggunakan alat kawalan ibu bapa, mengehadkan masa skrin dan memantau aktiviti dalam talian anak-anak.
“Ibu bapa juga perlu menjalinkan komunikasi terbuka dengan anak-anak untuk memahami pengalaman mereka di dunia maya,” katanya.
Kempen menggalakkan penggunaan Internet secara selamat dan beretika ini dilaksanakan lebih 10,000 sekolah dan semua universiti awam seluruh negara bertujuan meningkatkan kesedaran masyarakat terutama kanak-kanak berkenaan pentingnya keselamatan Internet.
Kempen Keselamatan Dalam Talian akan diperluas dalam kalangan komuniti bagi memperkasakan pengetahuan orang ramai tentang keselamatan dalam talian.
Antara fokus utama kempen iaitu kanak-kanak di bawah usia 13 tahun tidak dibenarkan untuk memiliki akaun media sosial (penggunaan Internet perlu di bawah pengawasan ibu bapa atau penjaga).
Selian meningkatkan kesedaran agar dapat mengelakkan diri daripada menjadi mangsa penipuan dalam talian (scam), judi dalam talian, buli siber, dan kes jenayah pedofilia.
Tamat.