Pentingnya pengambilan hidangan sihat untuk kanak kanak

Ada Apa Dengan Melly..? PROM NITE

Hidangan berkhasiat penting untuk kanak-kanak kerana ia membantu dalam pertumbuhan dan perkembangan fizikal serta mental mereka sekali gus meningkatkan tenaga sepanjang hari.

Nutrisi mencukupi membantu dalam pembinaan tulang, otot dan sistem imun yang kuatbahkan menyokong perkembangan otak serta kecerdasan.

Pegawai Dietetik, Pusat Pengajian Dietetik, Fakulti Sains Kesihatan, Universiti Teknologi Mara (UiTM), Siti Norfatihah Ismail berkata, justeru, nutrisi seimbang daripada makanan berkhasiat  memainkan peranan besar dalam memastikan proses pembelajaran anak-anak di sekolah berjalan lancar serta berkualiti.

“Hidangan berkhasiat membantu mengurangkan risiko penyakit kronik di kemudian hari.

“Menu yang bagus untuk kanak-kanak biasanya terdiri daripada pelbagai jenis makanan yang memberikan keseimbangan antara karbohidrat, protein, lemak sihat, vitamin dan mineral,” jelasnya.

Siti Norfatihah menggalakkan ibu bapa menyediakan hidangan berkhasiat sebelum anak ke sekolah.

Katanya, contoh makanan berkhasiat termasuk nasi, roti penuh gandum atau ubi kentang yang membantu memberi sumber tenaga kerana tinggi dengan karbohidrat.

Selain itu, kanak-kanak juga memerlukan kandungan protein kerana ia penting untuk membantu pembinaan sel dan tisu.

“Contohnya termasuk ayam, ikan, telur, atau kekacang. Juga, lemak sihat untuk membantu perkembangan fungsi otak dan kesihatan sel dinikmati menerusiminyak zaitun, kacang atau avokado.

“Kanak-kanak juga perlu mengambil hidangan lengkap dengan sayuran dan buah-buahan bagi membantu membekalkan vitamin, mineral dan serat,” katanya lanjut.

Ujarnya, untuk menghasilkan menu sihat tidak sukar, sebaliknya ibu bapa perlu tahu kunci keperluan diet dan khasiatnya dalam membantu pertumbuhan serta perkembangan anak.

“Sarapan pagi, ibu bapa boleh sediakan menu seperti sandwich telur bersama timun, salad dan segelas susu penuh krim atau bijirin seperti emping jagung, granola dan lain-lain serta dinikmati dengan susu coklat.

“Nagi makan tengah pula, memadai dengan menyediakan menu seperti nasi goreng, nuget buat sendiri, salad dan epal atau spageti karbonara isi ayam bersama brokoli dan lobak merah dan oren.

“Penyediaan minuman pagi dan petang paling mudah termasuk yogurt, minuman berkultur, kekacang seperti gajus sebagainya,” jelasnya.

Farah Nurdiana mementingkan pemberian hidangan bernutrisi kepada anaknya.

Sementara itu, bagi ibu anak satu, Farah Nurdiana Ahmad Nazri, keluarganya memang mementingkan penyediaan menu ringkas dan berkhasiat untuk anak-anak ke sekolah.

Katanya, dengan adanya pelbagai resipi ringkas dan mudah hari ini, kreativiti ibu bapa menyediakan hidangan juga menarik perhatian si cilik untuk makan.

“Saya sangat pentingkan pengambilan makanan yang sihat bagi membantu merangsang perkembangan fizikal dan mental anak.

“Dengan menyediakan hidangan berkhasiat, dapat membantu mengelakkan masalah kesihatan seperti obesiti dan diabetes yang sering disebabkan tabiat pemakanan tidak sihat.

“Hidangan seimbang juga membantu mengurangkan keinginan anak untuk membeli makanan ringan atau makanan yang tinggi gula dan garam,” katanya.