Konsep persaudaraan ummah Islamiyah salah satu ajaran Islam paling utama.

Ada Apa Dengan Melly..? PROM NITE

Kuala Lumpur: Umat Islam diseru agar berganding bahu dan bekerjasama dalam meringankan beban ditanggung rakyat Palestin di Gaza dengan mendukung usaha kerajaan membangunkan semula wilayah tersebut.

Demikian menurut khutbah dibacakan di seluruh masjid dan surau-surau Jumaat di Wilayah Persekutuan Jumaat lalu.

Menurut khatib, penyampaian itu adalah bersandarkan  tiga kesimpulan iaitu pertama umat Islam adalah bersaudara dan menjdi tanggungjawab setiap

Muslim sentiasa peka, bersikap peduli dan pertolongan antara sesama sendiri.

Katanya, kedua adalah umat Islam diseru berganding bahu dan bekerjasama dalam meringankan beban kehidupan sedang ditanggung  umat Islam di Gaza menerusi program bantuan pembinaan Gaza.

“Bagi ketiga, iltizam dalam membangun semula Gaza merupakan jihad penyatuan ummah tanpa mengira perbezaan pandangan, mazhab atau pendirian politik.

“Perkara ini selaras dengan firman Allah dalam Surah al-Hujurat ayat 15 berkaitan dengan kewajipan umat Islam berjuang dengan harta benda dan jiwa mereka pada jalan Allah sebagai tanda keimanan yang sebenar.

“Menjadi tanggungjawab setiap Muslim untuk sentiasa peka, bersikap peduli dan pertolongan antara sesama muslim berdasarkan semangat persaudaraan umat Islam,” kata khutbah bertajuk “Persaudaraan Ummah Demi Kesejahteraan Gaza”.

Khatib berkata kerajaan berhasrat untuk menyumbang bagi pembinaan sekolah, hospital dan masjid di Gaza sebagai langkah awal untuk membantu mengatasi beban serta krisis kemanusiaan dihadapi rakyat Palestin.

Ujarnya program bantuan bagi pembangunan sekolah, hospital dan masjid memerlukan pembabitan sokongan dari seluruh rakyat termasuk agensi kerajaan, sektor korporat juga pertubuhan bukan kerajaan.

“Negara konsisten dan sentiasa kejadapan dalam usaha membela nasib serta perjuangan rakyat Palestin dalam mengumumkan hasrat bahkan komitmen untuk bergandingan dengan Jepun bahkan negara-negara lain di peringkat antarabangsa dalam inisiatif pembangunan semula Gaza.

“Oleh itu, umat Islam digalakkan turut bersama bersolidariti menerusi program pembangunan Gaza sebagai satu bentuk penterjemahan semangat persaudaraan dan kesatuan ummah Islamiyah,” katanya sambil menambah Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) menubuhkan Jawatankuasa Khas bagi menyelaraskan sumbangan umat Islam negara ini bagi menjayakan aspirasi kerajaan menerusi program mulia itu.

Ujarnya lagi, kekejaman rejim Zionis terhadap Gaza amat dahsyat, pilu dan menyayat hati dengan Pejabat Penyelarasan Hal Ehwal Kemanusiaan (OCHA) PBB pada 28 Januari lalu menyatakan sebanyak 69 peratus struktur bangunan di seluruh Gaza musnah.

Kata khutbah itu, dalam aspek pendidikan, sebanyak 88 peratus iaitu 496 daripada 564 sekolah dan 51 universiti di Gaza musnah dan memerlukan pembinaan semula sepenuhnya atau pemulihan besar.

“Bagi sektor kesihatan, badan PBB turut melaporkan sebanyak 50 peratus iaitu 18 daripada 36 hospital di Gaza hanya dapat berfungsi sebahagian manakala 11 hospital lapangan berfungsi termasuk lapan secara penuh dan 49 sebahagian.

“Kementerian Wakaf dan Hal Ehwal Agama Palestin pula melaporkan bahawa sebanyak 815 masjid di Gaza musnah sepenuhnya dan 151 rosak sebahagiannya.

“Sebagai keluarga besar ummah Islamiyah, kita mesti mengambil tahu dan meningkatkan rasa peduli terhadap perkembangan serta situasi terjadi dalam kehidupan umat Islam di seluruh dunia khususnya permasalahan di Gaza mutakhir ini,” pesan khatib.

Khatib berkata konsep persaudaraan ummah Islamiyah merupakan salah satu ajaran Islam paling utama tanpa mengira asal-usul keturunan, warna kulit dan lokasi daerah geografinya.

“Semangat persaudaraan ummah diterapkan oleh ajaran Islam ini mengandungi makna amat besar dan ia boleh diumpamakan seperti sebuah Keluarga Ummah yang besar.

“Sebagai sebuah keluarga besar, ummah Islamiyah mestilah saling mengambil tahu, berkepedulian dan saling membantu serta bertolongan antara satu dengan lain sepanjang menjalani kehidupan dan membina ketamadunan ummah di dunia ini,” ujarnya.