Kuala Lumpur: Harga barangan import dijangka meningkat akibat pelaksanaan kenaikan tarif mendorong inovasi dalam sektor pembuatan dan perkhidmatan tempatan.
Kontraktor Elektrikal, Suzlina Isni berpendapat kesan kenaikan tarif Amerika Syarikat (AS) bergantung pada sejauh mana perusahaan dikendali terlibat dengan pasaran antarabangsa.
Katanya, sebagai contoh jika kontraktor lebih banyak terlibat dalam eksport atau mempunyai pelanggan asing, mungkin mendapat manfaat dari kenaikan dolar.
“Jika terlibat dalam eksport, seperti produk elektrik atau perkhidmatan menyediakan sistem elektrik untuk projek luar negara kenaikan nilai dolar AS boleh memberi keuntungan.
“Pendapatan dalam mata wang USD bernilai lebih tinggi apabila ditukar kepada mata wang tempatan.
“Pelaburan asing dalam sektor pembinaan atau infrastruktur, kontraktor memberi peluang lebih baik untuk meningkatkan perkhidmatan ditawarkan,” ujarnya.

Beliau bagaimanapun tidak menolak terdapat beberapa faktor perlu diteliti antaranya peningkatan kos bahan dan peralatan import.
Jelasnya, sebahagian besar bahan elektrik seperti kabel, pemutus litar dan alat-alat pengukur diimport.
“Kenaikan nilai USD menyebabkan bahan-bahan tersebut lebih mahal dalam mata wang tempatan mungkin meningkatkan kos keseluruhan bagi kontraktor.
“Kos pengangkutan juga lebih tinggi selain kesulitan dalam penetapan harga kontrak,” ujarnya.
“Jadi, perlindungan oleh pihak kerajaan seperti mengatur insentif dan subsidi dapat membantu syarikat mengurangkan beban kos pengeluaran untuk membantu mengimbangi kos,” katanya.