Kuala Lumpur: Sebagai Pengerusi ASEAN 2025, negara berperanan penting dalam memperkukuhkan komuniti ASEAN dan menangani cabaran serantau yang semakin kompleks.
Kepimpinan Malaysia dalam ASEAN juga diharapkan dapat memainkan peranan lebih besar dalam memastikan keutuhan organisasi itu.
Profesor Pengajian ASEAN, Universiti Islam Antarabangsa (UIA), Prof. Phar Kim Beng berkata Perdana Menteri akan berusaha melalui diplomasi pelbagai peringkat.
Ujarnya, ia membabitkan kerajaan, badan pemikir dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) untuk memastikan keterlibatan berterusan semua pihak.
“Tujuan akhirnya adalah untuk mengelakkan pertembungan peradaban akibat salah faham geopolitik dan ancaman siber.
“Semua kementerian dan badan pemikir berkaitan perlu berfungsi secara optimum untuk bekerjasama dengan Putrajaya, Manila dan mungkin juga Singapura, memandangkan Filipina dan Singapura akan menjadi tuan rumah ASEAN pada 2026 dan 2027.
“Perhatian khusus perlu diberikan kepada Ekspo Osaka pada Mei 2025, acara global berkala yang mempamerkan teknologi terkini sejak lebih satu abad,” katanya dalam satu kenyataan.
Selain itu, katanya Perdana Menteri juga perlu menekankan kepentingan Sidang Kemuncak Asia Timur (EAS) pada pertengahan Oktober 2025, bakal menjadi acara terakhir menandakan tamatnya Kepengerusian Malaysia dalam ASEAN.
“ASEAN kekal sebagai pemacu utama dalam kerjasama serantau selaras dengan Piagam ASEAN.
“Beliau juga menggalakkan Amerika Syarikat (AS) dan China untuk mengadakan dialog di sini sebagai tapak neutral bagi mengelakkan hubungan mereka menjadi permainan sifar (zero-sum game),” ujarnya.