Kuala Lumpur – Berjudi dalam talian menjadi isu yang semakin meruncing dengan peningkatan capaian internet dan penggunaan telefon pintar.
Aktiviti ini bukan sahaja memberi kesan negatif kepada individu yang terlibat, tetapi juga kepada keluarga, ekonomi negara dan keselamatan awam.
Pensyarah Kanan, Pusat Pengajian Sains Pengkomputeran, Kolej Pengajian Pengkomputeran, Informatik dan Matematik, Universiti Teknologi Mara (UiTM), Suzana Zambri, berjudi dalam talian beroperasi melalui laman web dan aplikasi mudah alih direka untuk menarik pemain dengan pelbagai tawaran dan ganjaran.
“Modus operandi platform perjudian dalam talian semakin sofistikated termasuk promosi melalui media sosial dan pesanan ringkas, penggunaan ejen atau ‘kaki judi’ untuk menarik minat.
“Pembayaran dan pengeluaran wang juga menggunakan akaun keldai, algoritma permainan tidak telus dan penipuan teknikal serta sindiket antarabangsa banyak beroperasi di sini,” ujarnya ketika dihubungi.

Katanya, judi dalam talian memberi kesan kepada ekonomi negara yang mana kehilangan berbilion ringgit dalam ekonomi formal.
“Menurut laporan, lebih RM14.5 bilion berpusing dalam sindiket perjudian dalam talian di negara ini setiap tahun.
“Keadaan ini membuatkan negara mengalami kerugian dan kehilangan hasil cukai kerana aktiviti ini tidak berdaftar serta tidak dikawal selia,” katanya lagi.
Beliau menyarankan agar penyelarasan perundangan dan mengkaji semula Akta Rumah Judi Terbuka 1953 agar lebih relevan dalam menangani judi dalam talian.
“Hukuman lebih berat harus dikenakan kepada sindiket perjudian dan ejen yang mempromosikan aktiviti ini. Tindakan lebih tegas terhadap akaun keldai perlu diambil.
“Bank Negara (BNM) dan institusi kewangan harus memperketatkan kawalan ke atas akaun bank yang disyaki digunakan untuk transaksi perjudian.
“Kempen kesedaran perlu dipergiat bagi memberi amaran kepada masyarakat tentang bahaya menyerahkan akaun bank mereka kepada pihak ketiga,” ujarnya.
Katanya, penyedia platform digital perlu bersama memainkan peranan dalam hal ini.
“Kerjasama dengan pihak Meta dan Google untuk menyekat iklan judi secara automatik juga diperlukan.
“Platform lain seperti YouTube dan TikTok juga perlu memainkan peranan dalam menapis kandungan berkaitan judi dalam talian,” jelasnya.

Sementara itu, Ketua Jabatan Syariah dan Ekonomi Akademi Pengajian Islam, Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya (UM), Dr. Mohd Shahid Mohd Noh, definisi judi dalam talian merangkumi sebarang aktiviti pertaruhan melibatkan wang atau barangan berharga melalui internet.
Ujarnya, judi dalam talian menjadi wabak dalam masyarakat moden.Umat Islam perlu memahami bahayanya dengan lebih mendalam.
“Kesan judi dalam talian kepada individu sangat mendalam dan memusnahkan. Dari segi kewangan, pemain boleh kehilangan simpanan.
“Fokus dan produktiviti kerja merosot kerana sering tertumpu kepada aktiviti perjudian.
“Dalam konteks masyarakat, judi dalam talian menyumbang kepada peningkatan kes jenayah seperti penipuan, kecurian dan rasuah apabila pemain cuba mencari wang untuk terus berjudi.
Jelasnya, pencegahan bermula dengan kesedaran diri dan pengetahuan agama yang kukuh.
“Individu perlu mengukuhkan iman, menjauhi diri daripada bercampur dengan rakan yang mengajak kepada maksiat dan mengisi masa dengan aktiviti bermanfaat,” katanya.