Pelakon dan penyanyi, Zarina Zainoordin, 38, mendedahkan pembabitannya dalam bidang seni kini lebih terarah kepada lakonan berbanding nyanyian.
Zarina yang mula dikenali menerusi program realiti, Akademi Fantasia musim kedua berkata, dia sememangnya banyak berlakon dan kurang menyanyi.
“Memang saya dah tak menyanyi kerana tak berlatih. Saya orangnya kalau tak praktis memang tak boleh menyanyi. Rasa tak yakin nak menyanyi.
“Ada sekitar lapan tahun juga saya tak menyanyi. Ada setengah penyanyi, dia menyanyi juga di karaoke untuk suka-suka tapi saya tak menyanyi langsung.
“Sebabnya apabila nak menyanyi saya perlu praktis. Kalau misalnya menyanyi campur mengacara sikit dan main ‘game’ bolehlah,” katanya kepada Harian Metro.
Zarina yang pernah mempunyai album berjudul Mahkota Jiwaku pada 2006 berkata, dia tak boleh beraksi dan tidak boleh menipu orang untuk menyanyi sekiranya tidak bersedia sepenuhnya.
“Orang bayar kita, jadi takkanlah saya nak ambil perkara ini secara sambil lewa,” katanya.
Mengulas berkenaan lakonan pula, Zarina berkata, dia lebih banyak membintangi drama episod berbanding telefilem.
“Kali terakhir saya berlakon filem dalam Mat Kilau: Kebangkitan Pahlawan pada tahun lalu. Bercakap soal bonus memang saya tak dapat. Tak terfikir kerana benda itu ada hitam putih.
“Bayaran diberikan dah cukup sebenarnya. Itu terpulang kepada dia (penerbit) sama ada nak bagi atau tidak. Orang keliling memang marah tapi itu hak dia, duit orang kita tak boleh buat apa.
“Tapi yang penting layanan yang diberikan semasa shooting (penggambaran) macam di Hollywood. Semuanya cukup lengkap. Banyak kali saya datang set untuk shooting, dia bayar saya sangat bagus,” katanya.
Menurutnya, dia percaya pada konsep menyenangkan orang dan orang akan menyenangkannya pula.
“Mungkin watak yang berat-berat bolehlah dapat bonus tapi saya sikit sangat. Saya pula kalau Syamsul Yusof yang tawarkan memang saya ambil. Dia panggil saya ‘last minit’ (saat akhir).
“Saya takkan tahu fasal skrip sehingga sampai di set esoknya baru tahu detail (terperinci). Saya cakap dengan dia susahnya Syamsul. Kamera pula dah ‘ready’ (sedia). Itulah cabaran berlakon bawah arahan dia.
“Saya dah kali ketiga berlakon bawah Syamsul dan tahu cara kerja dia macam mana. Nak masuk mula-mula itu susah. Soal hafal skrip pula, saya tiada masalah kerana macam menyanyi juga dah biasa,” katanya.
Zarina yang baharu selesai penggambaran drama bersiri Isteri Halal berkata, dia hanya menghafal skrip dalam tempoh tidak sampai lima minit biarpun skripnya panjang dan menggunakan bahasa baku.
Sumber : Harian Metro