SELEPAS seminggu dunia hiburan tanah air dikejutkan dengan pemergian ‘Raja Metal’ Syed Ismail Syed Ibrahim atau lebih dikenali dengan panggilan Mael XPDC, ramai peminat fanatik kumpulan itu tertanya-tanya siapakah yang akan menggantikan tempat beliau.
Perkara itu diajukan kepada anggota kumpulan XPDC ketika hadir pada majlis Tahlil Allahyarham Mael di Puchong malam Jumaat yang turut dihadari oleh ahli keluarganya.
Bagaimanapun menurut mereka, setakat ini perkara itu tidak dibincangkan namun tidak menafikan ia pastinya akan berlaku.
Jelas pemain bass XPDC Zuar, perkara itu perlu dilakukan secara teliti memandangkan karisma Mael dalam dunia muzik genre Rock Metal terlalu kuat, lapor Sinar Harian.
“Ya lah, mahu tidak mahu kita perlu fikirkannya untuk meneruskan kelangsungan perjuangan XPDC dalam industri hiburan tanah air.
“Namun ia tak mudah dan buat masa ni kami semua belum fikirkannya lagi. Masa ini kita nak fokus dengan beberapa konsert yang perlu kita penuhi mengikut perjanjian dengan penganjur,” katanya.
Jelasnya lagi, XPDC akan membuat penilaian yang sesuai bila tiba masanya nanti dan segala aspek akan diambil kira mengikut kesesuaian kriteria tertentu, selain perlu memenuhi ‘jiwa’ dan watak XPDC.
Bagi konsert yang akan diadakan pula katanya, XPDC akan mengundang beberapa penyanyi jemputan sementara selain menjemput peminat mereka sendiri untuk bersama-sama menjayakannya.
“Tapi penyanyi jemputan itu bukanlah bermakna mereka akan jadi penyanyi tetap XPDC.
“Malah kita juga akan beri peluang kepada peminat setia untuk turut sama menyanyi bersama kita nanti,” katanya lagi
Sementara itu XPDC dan pihak keluarga Allahyarham merakamkan rasa terima kasih kepada seluruh rakyat di negara ini yang telah menunjukkan keprihatinan yang tinggi atas pemergian penyanyi metal tersohor itu.
Menurut adiknya Syed Ali Syed Ibrahim, keluarganya cukup terharu dengan penghargaan dan keprihatinan yang ditunjukkan sepanjang seminggu pemergian Allahyarham.
Baginya, ia sesuatu yang cukup luar biasa dan sukar untuk diterjemahkan dengan kata-kata.
Allahyarham meninggal dunia 27 April lalu ketika dikejarkan ke Hospital Pakar Sultanah Fatimah, Muar akibat sesak nafas.
Sumber gambar – Harian Metro | Sumber laporan – Sinar Harian