Tiktok bukan tempat sia-sia, pendakwah perlu bijak ambil peluang

SEBUT sahaja mengenai Tiktok, sudah pasti ia tidak asing lagi bagi orang ramai yang kerap menjadikan medium media sosial ini sebagai tempat menunjukkan bakat seperti lakonan, tarian, lelucon dan lain-lain.

Namun, kini aplikasi itu dilihat bukan sahaja untuk hiburan semata apabila ramai dari golongan pendakwah yang turut menghasilkan video pendek bagi menyampaikan ilmu agama dan dakwah dalam cara yang lebih menarik sehingga mendapat tontonan yang tinggi dan menarik golongan muda lebih tertarik untuk belajar sesuatu.

Antara salah seorang pendakwah dan penceramah bebas, Ustaz Ahmad Dusuki Abdul Rani, 45, kini sudah mempunyai lebih 743,000 pengikut menerusi aplikasi itu berkata bahawa platform berkenaan mampu merapatkan jurang masyarakat dengan golongan pendakwah.

Katanya, “Saya dapati ramai terutamanya remaja menggunakan aplikasi TikTok, jadi saya ambil pendekatan di mana orang ramai berada, maka di situlah dakwah Islam perlu dilakukan mesti ada agar mereka tidak terus leka”.

“…masyarakat tidak akan terus terbuai dengan arus dunia sebaliknya hidup dalam keadaan lebih berfokus dan bermanfaat apabila ada ‘peringatan’ dan info-info tentang agama Islam”, jelasnya kepada BERNAMA.

Sejak pandemik Covid 19, banyak keterbatasan peluang berkomunikasi secara bersemuka dan mengadakan majlis-majlis agama, jadi menurut Ahmad Dusuki, pendakwah perlu bijak menggunakan medium dan teknologi sedia ada untuk menyampaikan ilmu.

Dalam pada itu, seorang lagi pendakwah bebas Ustaz Ahmad Adnin Roslan, 29, juga senada dengan Ahmad Dasuki apabila video yang dimuat naik menerusi aplikasi itu menerima maklum balas positif daripada pemilik akaun TikTok dan turut dikongsi di media sosial lain seperti Whatsapp dan Facebook.

Beliau mempunyai 1 juta pengikut di akaun TikToknya @adninroslan dan berdakwah melalui pendekatan santai dan berhemah dalam menyampaikan sesuatu isu dan hukum agama agar lebih mudah difahami.

Menurutnya, “Sesetengah orang khasnya orang muda tidak suka apabila kita bersyarah dengan panjang lebar. Mereka hanya mahu tahu sama ada boleh atau tidak, jadi saya kemukakan jawapan terhadap semua soalan secara ringkas tetapi padat.

Selain itu, bagi memenuhi permintaan, Adnin Roslan juga akan menyampaikan dakwah menerusi kaedah nyanyian yang telah ditukar liriknya.

Sementara itu, Imam Muda Asyraf atau nama sebenarnya Muhammad Asyraf Mohd Ridzuan juga bersetuju dan berkata dakwah perlu selari dengan perkembangan teknologi semasa dan disampaikan secara hikmah.

Jelasnya lagi, “Ulama mengatakan penggunaan teknologi dalam berdakwah tidak menjadi kesalahan namun, yang menjadi salahnya apabila menggunakannya dengan cara yang salah. Kini media sosial seperti TikTok dan Instagram, juga boleh dimanfaatkan dengan dengan ilmu yang berfaedah kepada masyarakat”.

Sumber: BERNAMA