PENYANYI, Haqiem Rusli menegaskan bahawa dia sudah cuba menjadi suami yang sehabis baik untuk isterinya, Anis Sofea sepanjang mereka berdua mendirikan rumah tangga sejak dua tahun lalu.
Haqiem atau nama sebenarnya Ridzuan Haqiem Rusli, 26, berkata, dia tidak akan berhenti sebaliknya terus berusaha memberikan yang terbaik kepada mahligai cinta yang dibinanya.
Katanya, adalah menjadi lumrah dalam setiap rumah tangga mendapat ujian tertentu termasuk dirinya yang tidak terkecuali.
Apabila ditanya sama ada ujian itu adalah tindakan isterinya yang menanggalkan hijab, Haqiem berkata, ia adalah salah satunya namun sebagai suami dia sudah cuba berusaha, lapor Harian Metro.
“Saya sebenarnya tidak mahu komen lebih (isu isteri tanggalkan hijab) sebab ini adalah berkaitan kehidupan peribadi.
“Cuma apa yang boleh dikatakan, saya sudah cuba sehabis baik untuk menjadi suami yang baik kepada Anis.
“Saya terima ujian ini dan masa sama berharap doa yang baik-baik daripada semua orang. Kita bagi dia (Anis) masa dan saya juga tidak mahu memaksa,” katanya ketika ditemui pada Majlis ‘Havoc Raya’ di Kampung Melayu, di sini, malam tadi.
Dalam majlis itu, Haqiem diundang sebagai penyanyi utama bagi memeriahkan acara yang dihadiri seramai 15,000 penduduk kampung berkenaan.
Haqiem juga dilihat turut membawa isteri serta keluarga kedua-dua belah pihak ke majlis berkenaan sekali gus desas-desus yang diperkatakan mengenai keretakan rumah tangganya adalah tidak benar sama sekali.
Menurutnya, dia tidak kisah dengan pelbagai andaian atau rekaan cerita berhubung rumah tangganya pada ketika ini di media sosial.
“Tidak kisahlah apa ‘assumption’ (andaian) atau siapa yang nak reka cerita kerana hubungan saya dengan isteri baik saja. Perkara ini mungkin timbul apabila saya sudah jarang upload (muat naik) di media sosial tetapi itu tidak bermakna hubungan rumah tangga saya bermasalah.
“Raya pun kami beraya di rumah keluarga dua-dua belah pihak dan datang ke Pulau Pinang juga bersama-sama,” katanya.
Terdahulu, tanda tanya tercetus apabila Anis atau nama sebenar, Wan Anis Sofea Wan Zamzuri, 21 baru-baru ini, memadam foto bersama Haqiem di Instagram (IG).
Tidak cukup itu, Anis berkongsi beberapa foto yang memperlihatkan dirinya tidak lagi berhijab, seperti yang lazim dilihat sebelum ini. Sebaliknya, foto dipaparkan menunjukkan Anis berselendang untuk menutup sebahagian daripada rambutnya.
Perlakuan Anis itu pantas mengundang tanda tanya peminat yang mengaitkan perkara itu dengan kemungkinan rumah tangga mereka bermasalah.
Haqiem menikahi Anis pada majlis tertutup dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) di Masjid Raja Haji Fi Sabilillah, Cyberjaya pada 19 November 2021.
Sumber gambar – mStar! | Sumber laporan – Harian Metro