PENYANYI nombor satu negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza baru-baru ini menjadi perhatian netizen apabila dia didakwa telah menjemput beberapa pendakwah bebas dari negeri lain sempena majlis tahnik anak lelakinya, Muhammad Afwa.
Hal tersebut menjadi pertikaian selepas beberapa keping foto memaparkan seorang menteri dan pendakwah bebas terkenal hadir ke majlis berkenaan yang diadakan di kediamannya pada Khamis lalu. Foto yang tular selepas dimuat naik di Instagram Siti Nurhaliza itu mendapat pelbagai persoalan bagaimanakah menteri dan pendakwah bebas yang hadir itu dapat merentas negeri untuk hadir ke majlis berkenaan.
Rata-rata netizen meluahkan rasa terkilan kerana merasakan Siti Nurhaliza tidak sensitif dengan keluhan rakyat Malaysia yang kebanyakannya sudah lama tidak pulang ke kampung gara-gara PKP yang dilaksanakan kerajaan.
Terbaharu, melalui hantaran di laman sosialnya, Siti telah membuat mengeluarkan kenyataan media dan menjelaskan kepada orang ramai bahawa majlis tahnik puteranya telah dilakukan mengikut segala peraturan prosedur operasi standard (SOP) memandangkan majlis itu dibuat ketika Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).
Manakala, dakwaan mengenai pendakwah merentas negeri pula tidak pernah berlaku kerana kesemua pendakwah tersebut bersetuju untuk hadir kerana masing-masing sedang berada di Kuala Lumpur.
Selain itu, mengenai acara tahnik yang dihadiri oleh Menteri Agama, Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri pula dilaporkan beliau hanya singgah untuk sempurnakan bacaan doa dan tahnik sebelum bergegas pulang.
Dia dan keluarga juga memohon maaf kepada orang ramai jika berlaku salah faham dan kurang senang kepada mana-mana pihak dan beliau juga sedia memberi kerjasama kepada pihak berkuasa sekiranya diperlukan.