PENYANYI Andi Bernadee dilaporkan telah selamat menjalani pembedahan bagi membuang batu karang di sebuah hospital di Lembah Klang pada 3 Mei.
Andi atau nama sebenarnya Andi Azrul Andi Mapangile, 30, dikatakan mengadu sakit di bahagian perut dan sekitarnya sebelum disahkan mengalami buah pinggang bengkak.
Menurutnya, sebelum ini memang sudah rasa sakit di sekitar perut sehingga ke bahagian pinggang, tapi ketika berada di sebuah acara di Shah Alam, tiba-tiba dia merasakan sakit itu luar biasa.
Katanya, “saya bersama pengurus bergegas ke klinik berhampiran dan terima suntikan, dapat bertahan sikit. Lepas waktu berbuka puasa, sakit tu datang balik dan terus ke hospital.
…Doktor kata buah pinggang saya dah bengkak dan perlu menjalani pembedahan dengan segera,” kata pelantun lagu Kais Pagi Kais Petang itu.
Penyanyi yang pernah popular dengan lagu Donde itu juga berkata, ini merupakan kali pertama dia dimasukkan ke hospital dan berterima kasih di atas doa orang ramai.
Dalam perkongsian terbaru Andi di Instagram, dia juga masih sempat menghiburkan peminat dengan gelagat lucunya walaupun telah selesai pembedahan.
Sebelum ini, pelakon drama Melastik Ke Hatimu itu pernah mendedahkan dirinya menjadi mangsa dengki sehingga disihir dipercayai perbuatan seorang wanita dan masih dalam proses untuk sembuh.
Apa pun, semoga Andi Bernadee diberi kesembuhan segera supaya boleh menyambut Syawal dalam keadaan sihat!