PENYANYI tersohor negara, Dato’ Sri Siti Nurhaliza selamat melahirkan bayi lelaki pada pagi Isnin, 19 April bersamaan 7 Ramadan.
Berita gembira dikongsi melalui Instagram beliau dan bayi seberat 3.84 kilogram itu dilahirkan menerusi kaedah pembedahan.
Menurut pengurus yang menulis caption di Instagram Siti, beliau dan bayi dikhabarkan berada dalam keadaan yang baik dan sihat.
Suami beliau, Dato’ Sri Khalid Mohamad Jiwa turut melahirkan rasa syukur dan terima kasih di atas doa keluarga, saudara mara, sahabat handai, peminat, media dan orang ramai.
Dalam pada itu, Dato’ Sri Siti Nurhaliza berharap dengan kelahiran anak kedua pada bulan Ramadan penuh keberkatan ini akan mengurniakan limpahan rezeki serta rahmat dari Allah.
Menjengah di ruangan komen, ramai peminat yang turut gembira dan mengucapkan ucapan tahniah di atas kelahiran anak kedua kepada pasangan Dato’ Sri Siti Nurhaliza dan Dato’ Sri Khalid Mohamad Jiwa.