PENGHASILAN lagu yang baik bagi sesebuah jalan cerita sama ada dalam drama atau filem sangat memainkan peranan kerana ia adalah pelengkap supaya penonton dapat menjiwai dan merasa kelengkapan dalam penyampaiannya.
Justeru itu, Siti Nordiana tampil dengan lagu baharu berjudul Cukup Derita Itu menyalurkan sepenuh emosi dan rintihan dalam lagu berkenaan. Lagu yang mendapat sentuhan Tam Spider dan Siti Rosmizah itu akan dijadikan sebagai latar muzik drama Cukup Derita itu lakonan bintang ternama Hisyam Hamid, Ruhainies, Chacha Maembong, Jasmin Hamid, Didie Alias, Farhan Asri, Dian P Ramlee, Balkisyh Semundur Khan, dan ramai lagi.
Drama yang diadaptasi daripada novel penulis Siti Rosmizah sendiri itu akan diarahkan oleh Along Kamaludin dan bakal ditayangkan di televisyen pada Mei ini.
Meskipun memang sudah diakui kehebatannya dalam bernyanyi, Siti Nordiana atau mesra dipanggil Nana tetap berdepan dengan cabaran tersendiri.
Menurutnya, “saya telah kaji keseluruhan plot cerita drama berkenaan untuk memastikan dapat gambaran tepat dari segi permainan emosi dan ada babak kesedihan”.
…saya cuba salurkan corak penceritaan dengan nada merintih terhadap setiap bait liriknya. selain itu, secara peribadi saya memang sangat berbesar hati dapat menyanyikan karya nukilan Tam”, tambah pelantun yang pernah popular dengan lagu Hatiku Milikmu itu.
Untuk rekod, Siti Nordiana pernah popular sekitar 1990-an, dan beliau telah membuktikan dirinya adalah antara salah seorang dari penyanyi terbaik wanita tempatan.
Walaupun pernah berehat dalam bidang seni, Nana kembali memeriahkan industri apabila menyertai sekaligus menjuarai Gegar Vaganza 2 pada 2016.