PELAKON Sharnaaz Ahmad, 38, masih berteka-teki berkenaan hubungan cintanya dengan pelakon baharu, Amelia Christie walaupun hadir bersama pada Malam Gala Filem Polis Evo 3, malam tadi.
Penampilan mereka juga mendapat perhatian ramai kerana berjalan masuk ke pawagam sambil berpaut tangan dengan mesra.
Ditanya impiannya yang mahukan kekasih atau bakal isteri bukan dalam kalangan selebriti, Sharnaaz berkata, mungkin selepas ini Amelia tidak lagi bergelar artis.
“Yang penting kita tengok mana yang terbaik. Saya okey saja. Saya berkawan dengan semua orang,” katanya.
Sharnaaz turut menjawab isu dia suka mengongkong kekasihnya seperti dakwaan ramai pihak sebelum ini.
“Saya rasa kalau kita kawal, saya yang nak kawal. Yang hangpa (kamu) sibuk nak buat apa. Jadi suka hatilah saya nak buat apapun,” katanya secara bergurau kepada media.
Menyambung lagi, Sharnaaz berkata, mengongkong itu bermakna dia peduli kepada Amelia.
“Kalau tak kawal baik kita tak payah peduli. Jadi ikut dialah nak jadi apa dan buat macam mana.
“Itu hak dia tapi bagi saya kawal itu ada banyak fasa. Kalau kita kawal tandanya kita nak dia jadi yang terbaik.
“Kalau kita kawal itu terlalu merepek, maka merepek la jadinya. Kalau kawal untuk kebaikan apa salahnya daripada dia merambu jadi mat rempit atau bohsia,” katanya.
Sharnaaz sebelum ini pernah mendedahkan bahawa dirinya sedang berkawan rapat dengan seseorang, namun enggan berkongsi cerita peribadi secara terbuka.
Terdahulu, Sharnaaz pernah membuat kenyataan bakal teman wanitanya mestilah seorang yang boleh menambat hati anaknya, Jebat Jayden.
“Yang itu kena tanya Jebat, saya tak berani nak bercakap untuk pihaknya. Saya tiada komen. Jadi apa yang saya lihat, ia boleh diteruskan lagi, kita tengok sejauh mana kita boleh pergi,” katanya.
Sumber gambar – Berita Harian | Sumber laporan – Harian Metro