Selepas ‘Lotus’, FORCEPARKBOIS pertaruh ‘Topboi’. Kali ini bercerita tentang kereta dan kejayaan

NAMA FORCEPARKBOIS bukanlah sesuatu yang asing bagi peminat muzik hip hop, namun bagi mereka, perjalanan seni baru sahaja bermula.

Krew hip hop yang berasal dari Johor Bahru ini dianggotai 11 orang kesemuanya, mereka terdiri daripada Chik (chikpap), Nakalness (nakalness), Noel (actualnoel), Blxckid (yungfriyay), Aset.bo (asset.bo), Han Panas (han.panas), Pab (shaf_pablo), Laws (laws.prayboi), Aali.3gp (aali.3gp), N$H ( fpbnishy) dan Fuegone (Fuegone).

Terbaharu, FORCEPARKBOIS tampil dengan single berjudul ‘Topboi’, single kedua mereka buat tahun 2022, hasil nukilan mereka sendiri.

“Kami sedang dalam rangka menyiapkan album dan ianya hampir siap tidak lama lagi, single ini juga bakal dimuatkan dalam album tersebut.

“Kami masih tidak menyangka kejayaan yang dikecapi hari ini bermula sekadar suka-suka sahaja, semuanya terjadi melalui sesi rakaman tidak sengaja single pertama yang dilakukan di dalam kereta, dan kereta bagi kami, mempunyai signifikasi yang sangat besar dan menjadi memori terindah buat kami,” kata Chik kepada The News.

Single Topboi yang diinspirasikan oleh Nakalness, tercetus ketika mereka berada di bengkel kereta, terdetik di hatinya, bagaimana mereka mula-mula menapak di industri muzik tanah air.

FORCEPARKBOIS

“Lagu ini menceritakan tentang pencapaian yang kami peroleh sekarang, dan kereta merupakan metafora terbaik kerana segala-segalanya bermula di sini. 

“Selain itu, kereta juga menjadi simbolik kepada betapa lajunya untuk kami sampai ke tahap ini, dan enjin sesebuah kereta harus mantap dan padu, sama seperti karya-karya kami terdahulu,” jelas Nakalness.

Single Lotus ciptaan mereka berjaya melonjakkan nama FORCEPARKBOIS ke mercu kejayaan dengan jumlah tonton melebihi 18 juta di YouTube, bukan itu sahaja, ia turut mendapat perhatian artis rap antarabangsa dari Korea Selatan, Jay Park.

Jay bersama barisan rapper daripada label muziknya, H1ghr Music, berminat menghasilkan versi remix single hit tersebut dengan pembuka kata yang cukup menarik ‘Apa khabar, it’s Jay Park’.

Single Topboi mengangkat elemen trap yang rata-rata kini menjadi muzik pilihan kebanyakan artis hip hop, namun FORCEPARKBOIS tetap mengunggulinya dengan tidak mejadi stereotaip dan mengetengahkan nuansa alternatif rap yang paling santai, di mana ke sebelas mereka masing-masing ada verse tersendiri melalui penyampaian yang pelbagai.

“Kami memperuntukkan 2 hari bagi sesi rakaman kerana setiap ahli mahu berikan yang terbaik walaupun proses tersebut mengambil tempat hanya di stesen minyak Petron yang viral di Genting Highland dan bengkel kereta, SDW Workshop.

“Bagi video muziknya (MV) pula, sesi penggambaran dilakukan di bengkel yang sama dengan menampilkan konsep lumba kereta jalanan ala Fast & Furious selain mempromosikan servis yang disediakan SDW Workshop,” ulas Noel.

Walaupun masih baharu, FORCEPARKBOIS berjaya mengecapi kejayaan dalam masa yang singkat kerana arah tuju muziknya yang berpaksi kepada konotasi hip hop bukan generik yang mereka jadikan sebagai pegangan.

“Bagi kami, kesemua pemuzik di Malaysia ada keistimewaannya, yang membezakan kami adalah setiap ahli FORCEPARKBOIS mempunyai karakter yang unik dengan pembawakan rap yang tersendiri.

“Setiap karya yang kami hasilkan adalah yang terbaik, dengan usaha 100%, dan kami akan buat sehingga lagu tersebut jadi ‘sedap’,” tambah Blxckid.

Ujar Aset.bo: “Semoga pendengar muzik terutamanya penggemar hip hop dapat menerima Topboi dan terus meledak.

“Agar semua dapat enjoy dengan karya ini dan teruslah menyokong pengkarya muzik tempatan.