Salman Al Jugjawy Kembali ke Dunia Muzik: “Hey Dunia” – Dakwah Melalui Nada Bersama Duta Sheila On 7

Ada Apa Dengan Melly..? PROM NITE

Yogyakarta, 17 Februari 2025 – Nama Salman Al Jugjawy, yang dahulu dikenali sebagai Saktia Ari Seno, bekas gitaris Sheila on 7, kembali ke persada muzik dengan penuh makna. Beliau melancarkan single terbaharunya, “Hey Dunia”, sebuah adaptasi daripada lagu ikonik “Sephia” ciptaan Eross Candra, namun dengan lirik yang diolah untuk membawa mesej dakwah dan refleksi kehidupan.

Salman menulis lirik “Hey Dunia” semasa perjalanan dakwahnya di Sulawesi pada 2010-2011. Pada awalnya, beliau menciptakan dengan melodi yang berbeza, tetapi nada “Sephia” terus berputar dalam fikirannya. Dengan izin penciptanya, Eross Candra, Salman akhirnya memilih untuk menggunakan lagu tersebut sebagai medium dakwah. Namun, projek ini tertangguh selama bertahun-tahun akibat kesibukannya dalam dunia dakwah serta jadual padat rakan-rakan Sheila on 7. Beberapa rakaman lama di YouTube menunjukkan Salman menyanyikan lagu ini sambil berdakwah, menjadi bukti bahawa lagu ini telah lama berakar dalam jiwanya.

Duta Sheila on 7 Turut Menyumbangkan Suara

Selepas pandemik, Salman mula serius untuk merealisasikan impian merakam “Hey Dunia” dengan berbincang bersama rakannya di Malaysia. Walaupun sudah mendapatkan izin dari publishing serta pencipta asal, beliau tetap ingin meminta izin dan restu secara peribadi daripada rakan-rakan Sheila on 7.

Dalam perbincangan tersebut, Salman menerima satu kejutan besar—Duta Modjo, vokalis Sheila on 7, menyatakan hasratnya untuk turut menyumbangkan suara dalam lagu ini. Bagi Salman, ini adalah satu anugerah dan berkat dari doa-doanya yang selama ini dimakbulkan oleh Allah. Niat, usaha, dan doanya akhirnya terjawab apabila seluruh anggota Sheila on 7 memberikan sokongan penuh terhadap projek ini.

Duta turut menyatakan rasa bahagianya kerana dapat mengisi suara dalam lagu ini, kerana baginya, ini adalah peluang untuk berdakwah melalui muzik. Menurutnya, lirik “Hey Dunia” membawa mesej yang universal—bahawa kehidupan di dunia ini hanya sementara, sedangkan akhirat adalah selama-lamanya, sesuatu yang diyakini oleh semua agama.

Dalam lagu ini, Salman turut dibantu oleh Tomo Widayat, Ali Hasan, dan Vicky Ungul.

Pelancaran Bertaraf Label Besar

Selepas kejayaan Sheila on 7 dengan single “Memori Baik”, “Hey Dunia” kini dilancarkan dalam sebuah majlis yang kemas dan profesional, setanding dengan produksi label-label besar. Salman dan rakan-rakannya menguruskan sendiri media kit serta merchandise, dengan segala persiapan diatur oleh keluarga besar Sheila on 7.

Apa yang menjadikan sidang media ini begitu istimewa adalah kehadiran seluruh anggota Sheila on 7, yang turut mengiringi Ustaz Salman menyanyikan lagu ini di atas pentas. Suasana penuh nostalgia menyelimuti acara, seakan-akan Sheila on 7 kembali bersatu seperti dahulu. Momen paling menyentuh hati terjadi ketika Salman menitikkan air mata saat menyanyikan bahagian akhir “Hey Dunia”, merasakan betapa bermaknanya perjalanan ini.

Muzik, Dakwah & Erti Sebuah Perjalanan

Salman, yang pernah meninggalkan dunia muzik demi mendalami ilmu agama, kini menemui keseimbangan dalam misinya. Baginya, muzik bukan lagi sekadar hiburan, tetapi juga alat dakwah yang mampu menyentuh hati ramai orang.

Single “Hey Dunia” kini boleh dinikmati di semua platform digital dan YouTube. Label 507 Records, yang dikendalikan oleh Adam Subarkah, turut memberikan sokongan penuh terhadap projek ini, menandakan bahawa Sheila on 7 terus berkembang dalam pelbagai dimensi.

Tahniah Ustaz Salman Al Jugjawy, Akhdiyat Duta Modjo, Sheila on 7, dan 507 Records! Kisah ini bukan sekadar tentang muzik, tetapi tentang persahabatan, perjuangan, dan keikhlasan.

Jalan terus!

Oleh: Roomnone