Perkahwinan Adira Suhaimi dan suaminya, Datuk Seri Adnan Abu atau Datuk Red akhirnya terlerai selepas pasangan itu sah bercerai talak satu pada Rabu.
Adnan, 46, melafazkan talak di Mahkamah Rendah Syariah Gombak Barat, Rawang, di sini, pagi ini.
Kes tersebut didengar di hadapan Hakim Syarie, Abdul Hadi Omar sekitar jam 9.39 pagi dan mengesahkan lafaz tersebut adalah sah mengikut hukum syarak.
Ketika ditemui Harian Metro, Adira menjelaskan yang dirinya tidak akan menuntut sebarang nafkah idah dan mutaah kerana tidak mahu membebakan bekas suaminya itu.
“Saya tak nak susahkan dia lagi. Sekarang ini dia tengah ‘down’. Doakan supaya dia dimurahkan rezeki,” katanya.
Menurut Adira, dia bakal memfailkan hak jagaan anak walaupun mereka masih tidak mengetahui mengenai perceraian itu.
“Buat masa sekarang saya tidak halang untuk Datuk Red melawat atau nak bermalam dengan anak-anak. Kami bersetuju dan bersepakat dengan keputusan ini,” katanya.
Kata sepakat untuk berpisah diambil selepas Adira pulang dari Tanah Suci baru-baru ini.
“Saya selalu ajak dia berbincang mengenai perkara ini (cerai). Tapi keputusan ini dicapai selepas saya pulang dari Tanah Suci.
“Saya ambil langkah untuk tidak mahu bergaduh, supaya kami selesa untuk berhubung dan berkomunikasi selepas ini.
“Nak bercerai, tidak semestinya kena bergaduh atau buka aib sebab macam mana sekali pun anak-anak tetap perlu dibesarkan bersama-sama,” katanya.
Pada 25 Oktober tahun lalu, Adira memfailkan perceraian berikutan tiada persefahaman.
Sumber : Harian Metro