PELAKON Korea, Lee Kwang Soo akhirnya memutuskan untuk berehat dari program televisyen popular “Running Man”.
Keputusan tu diambil kerana Lee Kwang Soo ingin fokus terhadap proses pemulihan kesihatan dirinya dan juga cuti.
Lee Kwang Soo, 36, mengumumkan bahawa dia akan meninggalkan Running Man selepas 11 tahun penglibatannya dalam program TV SBS itu.
Agensi Lee Kwang Soo, KINGKONG (STARSHIP) berkongsi kenyataan rasmi bahawa penggambaran terakhirnya adalah pada 24 Mei ini. Mereka juga turut menyatakan, keputusan itu diambil setelah perbincangan panjang dengan anggota dan kakitangan produksi Running Man.
Kata agensi, “Lee Kwang Soo mengalami kecederaan pergelangan kaki yang teruk akibat kemalangan kereta pada tahun lalu. Walaupun, dia telah menerima rawatan terapi fizikal tetapi sehingga kini Kwang Soo masih menghadapi kesulitan untuk memberikan yang terbaik dengan keadaan dirinya”.
“Keputusan ini sukar diambil kerana Lee Kwang Soo telah menjadi sebahagian daripada keluarga Running Man selama 11 tahun. Walau bagaimanapun, ini adalah yang terbaik supaya dia boleh fokus pada masa pemulihan sehingga dia benar-benar boleh kembali ke kaca TV dalam keadaan yang lebih baik”, tambah KINGKONG (STARSHIP).
Menurutnya juga, dia sangat menghargai semua sokongan dan kasih sayang dari peminat selama dia berada di Running Man. Lee Kwang Soo juga berjanji akan kembali dalam keadaan lebih sihat dan gembira pada masa akan datang.
Dalam pada itu, walaupun peminat sedih dengan khabar ini. Mereka tetap mendoakan yang terbaik dan pasti akan merindui gelagat lucu Lee Kwang Soo!