Kematian anak sulung dan pernah kemalangan sehingga menyebabkan lumpuh, itu antara cabaran yang pernah dilaluinya wanita bernama Datuk Faridah Hanim Haron atau mesra dengan panggilan Ibu Hanim.
Berkongsi apa yang dilaluinya, kata Ibu Hanim akibat dari kemalangan ngeri yang dialaminya hampir 20 tahun lalu sehingga kini dia juga masih terpaksa menanggung kesakitan di bahagian belakang badan.
“Doktor kata saya akan lumpuh memandangkan kecederaan yang saya alami sangat teruk, malah saya juga koma selama seminggu selepas kejadian.
“Namun sebagai seorang ibu dan isteri tanggungjawab yang saya pikul itu besar, sebab itu saya kuatkan semangat untuk kembali sihat. Alhamdulillah tahun kedua selepas kemalangan saya kembali berjalan sehingga kini.
“Paling mengejutkan doktor sendiri memberitahu saya sepatutnya di umur saya ini, saya tidak lagi mampu berjalan selain terbaring di katil sahaja,” katanya
Merupakan Presiden Annems Leadership Solution, tidak sekadar kemalangan ngeri antara cabaran lain yang turut membentuk sifat positifnya kini adalah bagaimana dia melalui pengalaman lain seperti kematian anak sulung, disahkan kanser selain turut mempunyai seorang anak yang mengalami masalah pendengaran.
“Apa yang saya lalui ini adalah cara Allah untuk menjadikan saya seorang yang kuat.
“Tidak pernah sekali saya mahu berputus asa dengan kehidupan yang saya lalui. Saya yakin setiap cabaran yang kita lalui akan memberi laluan yang berbeza dalam kehidupan,”katanya.
Sementara itu gigih membantu syarikat tempatan menyusun kembali organisasi syarikat dan kembali bergerak mengikut hala tuju sepatutnya melalui Annems Leadership Solution. Tambah Ibu Hanim pengalaman dalam bidang korporat selama puluhan tahun memberikan kelebihan untuk dia membantu usahawan di luar sana.
“Saya tidak mahu menyimpan pengalaman dan ilmu yang ada sepanjang berada di sektor korporat.
“Saya tahu anak bangsa kita bijak dalam perniagaan yang mereka perlukan adalah panduan dan perkongsian ilmu untuk maju ke depan. Saya memilih jalan ini atas dasar tanggungjawab dan mahu semua pihak bersikap proaktif untuk bangkit mendepani cabaran ekonomi kini,” jelasnya.
Sementara itu baru-baru ini sebanyak 56 syarikat yang telah berjaya menamatkan Program Business Sustainability Solution (BSS) yang berlangsung selama 9 bulan diraikan dalam satu majlis Malam Aspirasi Pejuang.