Penyanyi, Faizul Asyraf Fauzi, 29, atau Pasya hampir ditumbuk seorang lelaki dipercayai pelancong warga Iran.
Memetik laporan Harian Metro, kejadian berlaku di Jalan Alor Bukit Bintang dekat sini selepas penyanyi yang dicungkil bakat dari program Mentor musim ketujuh itu cuba menuntut wang persembahan yang dijanjikan kepadanya.
Menurut saksi kejadian salah seorang wanita daripada kumpulan pelancong dari negara Arab terbabit mendekati Pasya yang ketika itu sedang mengadakan persembahan atau ‘busking’ berhampiran laluan awam dan tumpuan pelancong berkenaan.
“Wanita itu kemudian meminta Pasya dan kumpulannya menyanyi berdekatan dengan meja makannya bersama beberapa rakan lain.
“Pasya terlebih dahulu memaklumkan kepada wanita terbabit jika mahu memenuhi permintaannya perlu dibayar dengan harga berbeza oleh kerana terpaksa memindahkan barang kelengkapan, peralatan muzik selain sistem audio mereka.
“Difahamkan bayaran diminta adalah hanya sekitar RM200 dan wanita terbabit didakwa telah bersetuju tanpa ada sebarang bantahan menyebabkan Pasya dan kumpulannya berpindah hampir dengan meja makan wanita itu.
“Selesai membuat persembahan khas itu seperti biasa wakil kumpulan Pasya membawa tabung untuk mengutip bayaran.
“Begitupun, ketika tabung mereka tiba di meja tempat wanita Arab itu duduk, dia tidak menepati janjinya untuk membayar caj yang dipersetujui. Malah satu sen pun tak nak bayar!” katanya.
Tambahnya lagi, lebih memburukkan keadaan wanita berkenaan mula meninggikan suara dan menengking ahli kumpulan busker Pasya.
Keadaan mula jadi kecoh apabila wanita terbabit menuduh Pasya dan dua lagi ahli busker lain melakukan peras ugut dengan meminta wang sebanyak RM200.
Kemudian desakan dilakukan tiga pemuzik itu terhadap wanita berkenaan menyebabkan rakan lelakinya tiba-tiba bangun dan memberi amaran kepada Pasya akan menumbuknya jika tidak beredar.
Pertengkaran yang disaksikan ramai itu tidak lama kemudian mendapat campur tangan peniaga kedai makan di situ serta beberapa individu tempatan yang menyebelahi Pasya dan kumpulannya.
Tidak lama kemudian, seorang lelaki Iran yang kelihatan sedikit berusia cuba menenangkan kedua-dua pihak dan mengajak Pasya berbincang.
“Selepas menerangkan perkara sebenar mengenai syarat bayaran dipersetujui wanita terbabit, barulah lelaki itu faham dan mengarahkan salah seorang rakannya membuat pembayaran secara atas talian.” katanya.
Pasya sebelum ini pernah memberitahu dia tidak malu menjayakan persembahan jalanan sekalipun berdepan pelbagai tanggapan segelintir pihak.
Katanya, di manapun mengadakan persembahan bukanlah ukuran, sebaliknya bakat dan karya dikongsi dapat dinikmati oleh semua.
Sumber : Harian Metro | Gambar : Kosmo Digital