Penyanyi lagu terkenal ‘I Believe I Can Fly’, R Kelly dipenjara 30 tahun kes penderaan seksual

PENYANYI yang terkenal dengan lagu ‘I Believe I Can Fly’, R Kelly, dihukum penjara 30 tahun selepas disabitkan bersalah berkaitan kes penderaan seksual ke atas kanak-kanak dan wanita.

Kelly atau nama sebenarnya Robert Sylvester Kelly, 55, dituduh memperdaya wanita menggunakan status selebritinya, lapor Astro AWANI.

Penyanyi R&B yang mendapat jolokan “the King of R&B” itu disabitkan kesalahan September lalu atas jenayah penyeludupan seksual.

Puluhan wanita tampil memberi keterangan atas perbuatan Kelly dalam perbicaraan sebelum ini.

Kelly didakwa menjanjikan kemasyuran terhadap mangsa-mangsanya.

Dia dikatakan memperoleh dokumen palsu untuk mengahwini penyanyi Aaliyah yang ketika itu hanya berusia 15 tahun.

Aaliyah Dana Haughton atau lebih dikenali dengan nama pentas Baby Girl bagaimanapun maut selepas pesawat yang dinaikinya terhempas di Bahamas pada 2001.

Dia berusia 22 tahun ketika kejadian.

Kelly merupakan antara individu terkenal yang disabitkan dengan jenayah seksual ketika pergerakan #metoo mula mendapat perhatian ramai pada 2006.

Lagu nyanyiannya juga ‘dibekukan’ untuk ke udara oleh pihak stesen radio selepas terpalit kes berkenaan.

Sumber: Astro AWANI