Luluh hati pelakon veteran, Wan Maimunah, 65, apabila hanya ditawarkan bayaran sebanyak RM200 untuk membintangi sebuah telefilem, bulan lalu.
Wan Maimunah ketika ditemui Harian Metro berkata, isu bayaran rendah kepada pelakon veteran sebenarnya sering diluahkan pelakon lain dan sudah lama, namun sehingga sekarang masih belum ada jalan penyelesaian yang dicapai.
“Saya tidak merajuk dan masih sayangkan karier lakonan ini kerana sudah sebati dengan diri. Tapi, bila fikirkan bayaran tidak setimpal dan amat rendah, lebih baiklah saya duduk di rumah dan berehat. Rezeki Allah itu luas dan ada di mana-mana.
“Cuma, rasa sedih itu membuat hati saya sebak mengenangkan RM200 saja ditawarkan untuk berlakon sebuah telefilem. Jumlah babak mesti banyak dan sudah tentu memenatkan. Tapi, tak apalah memang bukan rezeki saya,” katanya kepada Harian Metro.
Mengulas dirinya dikatakan pelakon Gred A, Wan Maimunah berkata, itu orang yang melabelkannya.
Hakikatnya, hanya dia dan pihak produksi yang tahu jumlah bayarannya.
“Saya tetap yakin Allah selalu bersama hamba-Nya yang tidak putus berdoa. Setakat ini untuk makan minum saya masih mampu diurus. Malah, kalau keluar makan di luar sekali-sekala pun, akan ada orang yang saya tidak kenali membayarnya.
“Tahu-tahu saja sudah dibayar. Saya ucapkan terima kasih kepada mereka yang baik hati itu dan mendoakan agar terus dimurahkan rezeki. Sesungguhnya, Allah membantu kita dalam banyak cara yang tidak diduga,” katanya.
Wan Maimunah berkata, dia kini sedia menerima tawaran berlakon daripada pihak produksi yang mengikut kata hatinya mahu bekerjasama seperti membintangi drama arahan Rashid Sibir.
“Untuk tahun ini, saya ada membintangi drama arahan Rashid. Itu pun saya terima kerana kami sudah kenal lama sejak dia (Rashid) baru habis belajar di universiti dulu. Malah, saya pun dah banyak berlakon dengan Rashid sebelum ini,” katanya.
Wan Maimunah berkata, disebabkan diskriminasi bayaran dilalui itu, dia lebih sanggup menerima tawaran daripada syarikat produksi baharu untuk berlakon filem pendek kerana bayaran ditawarkan jauh lebih baik berbanding bekerjasama dengan syarikat produksi lama.
Sumber & Gambar : Harian Metro