SEORANG pekerja agensi terkenal Korea Selatan, SM Entertainment A&R (artist & repertoire) telah dibuang kerja selepas ketahuan sengaja menambah nama isterinya sebagai salah seorang penulis lirik pada lagu kumpulan K-Pop EXO dan penyanyi BoA.
Menurut laporan dari Dailyan, perbuatan bekas ketua bahagian SM Entertainment A&R itu pecah tembelang selepas nama asing (isterinya) ditambah sebagai penulis lirik untuk lagu EXO, EXO-CBX, Baekhyun, dan BoA. Jumlah keseluruhan lagu yang didaftar bersama nama isterinya adalah 15 buah lagu.
SM Entertainment telah memberhentikan pekerja serta merta setelah mengetahui perkara ini dan kini dia telah dikenakan tindakan tatatertib.
Sehubungan itu, pihak SM Entertainment A&R juga menjelaskan, tanggungjawab mereka adalah mencari bakat baru, membuat kontrak, membina dan mengembangkan bakat para artis. Selain itu, mereka juga bertanggungjawab keatas keseluruhan pekerjaan ang dilakukan agensi setiap hari, seperti perancangan, produksi, dan promosi artis.
Oleh kerana sebahagian daripada tanggungjawab pasukan A&R adalah untuk mengawasi produksi lagu tersebut, kakitangan juga perlu mengumpulkan lirik dan mengira jumlah kredit dari penulis lirik.
Walau bagaimanapun, pekerja SM Entertainment tersebut menyalahguna kuasanya dan mengambil royalti yang bukan miliknya. Dia juga didapati menggunakan tiga nama palsu bagi mengelak sebarang kecurigaan, namun setelah sekian lama kini dia tertangkap dan perlu menghadapi tindakan disiplin dari syarikat tersebut.
Sumber: Dailyan