Kuala Lumpur – Firma Managing Partner of Thomas Philip menawarkan khidmat guaman secara pro bono kepada semua artis tempatan yang terjejas dengan perbuatan tidak senonoh kumpulan dari British, The 1975 pada acara Festival Good Vibes 2023 yang sepatutnya berlangsung hingga hari ini.
Ia berikutan acara itu diarahkan dibatalkan serta-merta susulan tindakan vokalis The 1975, Matty Healy menunjukkan perlakuan kurang sopan dalam konsert berkenaan.
Mathew Thomas Philip berkata, pihaknya sepenuh hati bersedia mewakili artis dan vendor tempatan bagi tindakan guaman.
“Ia sesuatu yang boleh dijangka akibat tindakan melulu kumpulan The 1975 itu.
“Kumpulan The 1975 sepatutnya mematuhi skop kontrak dan mereka tidak sepatutnya ‘memberitahu’ bagaimana mentadbir negara kerana kerajaan mempunyai proses demokratik. Anda bodoh,” katanya dalam satu hantaran Facebook, semalam.
Menteri Komunikasi dan Multimedia, Fahmi Fadzil, semalam dilaporkan berkata, kerajaan mengarahkan pembatalan serta merta penganjuran Festival Good Vibes 2023 yang sepatutnya berlangsung hingga esok.
Fahmi turut menggesa penganjur mengenal pasti mekanisme ganti rugi kepada pembeli tiket yang menempah mengikuti konsert berkenaan.
Beliau dilaporkan berkata, pihaknya sudah mengarahkan pembatalan serta-merta baki festival berkenaan yang sepatutnya berlangsung hingga hari ini.
Philip Thomas berkata, pasukan guaman pro bono itu terdiri daripada Ahmad Iyas Husni, Phoebe Loi dan Nandakumar S Haridas.
Katanya, mereka akan menyediakan draf kerja tindakan yang mewakili artis dan vendor tempatan terhadap The 1975.
“Sekiranya terdapat sebarang maklumat lanjut yang mungkin mempunyai kaitan dengan saman terhadap The 1975 seperti lokasi aset The 1975, hubungi pasukan pro bono kami,” katanya.
Aksi lucah dan tidak menghormati undang-undang Malaysia oleh kumpulan The 1975 menyebabkan Festival Good Vibes 2023 yang dijadualkan berlangsung selama tiga hari terpaksa dibatalkan serta-merta semalam.
Terdahulu, Fahmi dalam ciapan di Twitter semalam turut menyifatkan perlakuan Matty dalam konsert itu sebagai biadap.
Dalam konsert itu, Matty dilihat memegang botol arak di atas pentas ketika melakukan persembahan selain meludah dan melakukan aksi kurang sopan.
Malah, Matty juga membuat ucapan menghina undang-undang negara berkaitan isu lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) sebelum mencium pemain bass The 1975, Ross McDonalds di pentas.
Sumber : Harian Metro