BIARPUN mempunyai pendirian untuk tidak menghantar anak-anak mengikuti sistem pendidikan formal di sekolah, penyanyi Suhaimi Saad nampaknya mempunyai perancangan tersendiri buat masa depan anak-anaknya itu, lapor portal Gempak.
Terbaharu, Suhaimi,41, memaklumkan dia mengajak kesemua anaknya itu untuk mengikuti jejak langkahnya sebagai penyanyi.
Buktinya, bekas anggota In-Team itu bakal tampil dengan sebuah kumpulan nasyid baharu yang dianggotai oleh empat orang anaknya termasuk isteri, Ina Naim.
Menurut Suhaimi, kumpulan nasyid yang menampilkan anak-beranak itu diberi nama sebagai Bismillah.
“Bismillah. Kami sedang menyiapkan sebuah album gandingan suara Suhaaimi Saad, Ina Naim dan anak-anak.
“Album kumpulan Bismillah ini akan diterbitkan pada awal Ramadan depan. Insya-Allah,” katanya menerusi satu entri di Instagram.
Terdahulu, menerusi beberapa hantaran berasingan, Suhaimi turut berkongsi proses rakaman lagu yang sudah mula dilakukan sejak awal bulan ini.
Bahkan, katanya, dengan penubuhan kumpulan tersebut, secara tidak langsung menjadi detik kemunculan semula Ina Naim yang sebelum ini pernah muncul dengan album Duhai Hati pada 2015.
“Ina Naim is comeback,”tulisnya.
Pasangan tersebut yang berkahwin pada Ogos 2007 dikurniakan empat cahaya mata iaitu Ehmad Hadie El Fardie,13, Sallman El Khoyri,11, Phyrosh El Fadwah,9, dan Nurlayla El Ghufrony,7.
Difahamkan kesemua anak pasangan tersebut menerima pendidikan menerusi home schooling yang mana Suhaimi dan Ina bertindak sebagai pengajar.
Apapun, jom kita sama-sama nantikan kemunculan album mereka itu nanti! Mesti padu!.
sumber: Gempak