USAHAWAN selebriti, Neelofa akhirnya mendedahkan dia kini hanya menghitung hari menunggu kelahiran cahaya mata sulungnya.
Neelofa atau nama sebenarnya, Noor Neelofa Mohd Noor juga berkata perasaan gementar turut dirasainya menjelang proses kelahiran anak pertamanya nanti, lapor Kosmo.
“Ya, sekarang ini saya menghitung hari dan bila-bila masa sahaja akan bersalin. Insya-Allah kami akan umumkan berita kelahiran anak kami nanti.
“Gementar juga nak melalui proses melahirkan nanti, harap akan dapat bersalin normal jika semuanya dalam keadaan baik,” katanya kepada Kosmo.
Neelofa, 33, berkata demikian dalam satu majlis pelancaran produk keluarannya.
Bekas pengacara rancangan MeleTOP turut berkata dia banyak bertanya tips dan nasihat daripada ahli keluarga sebagai persediaan untuk bergelar ibu.
Tambahnya, cahaya mata sulungnya hasil perkahwinan dengan pendakwah terkenal, Haris Ismail juga akan dilahirkan di Kuala Lumpur.
“Alhamdulillah barangan bayi sudah kami sediakan.
“Ternyata proses mengandung, melahirkan dan menjadi seorang ibu merupakan satu pengalaman yang sangat berbeza.
“Mental juga perlu bersedia dengan banyak membaca dan bertanya nasihat daripada ahli keluarga kami,” katanya lagi.
Neelofa dan Haris selamat bernikah di sebuah hotel terkemuka di ibu negara pada 27 Mac tahun lalu.
Sumber: Kosmo