Nama bekas kekasih PU Riz jadi bualan, netizen doakan ketabahan Amal Syahmina

DI sebalik kegembiraan pelakon dan pengacara popular Neelofa yang dirisik pendakwah PU Riz, Ahad lalu, tiba-tiba nama bekas kekasih pendakwah itu, Amal Syahmina menjadi sohor kini di laman sosial.

Rata-rata komen yang ditinggalkan di Twitter dan Instagram mendoakan supaya wanita itu terus tabah melayari kehidupan dan menemui kebahagiaan hidup.

Seorang pengguna Instagram, @nellysa.co berharap Amal kuat dan tabah melalui ujian hidup.

“Perasaan dia, hanya dia dan Allah sahaja yang tahu. Kepada yang melalui perkara sama juga tahu persis apakah perasaan dan kekecewaan ini.

“Kepada Amal, semoga awak kuat. Allah mahu memberikan yang lebih baik. Tak salah kalau rasa kecewa. Menangislah sehingga puas. Saya doakan Amal bahagia hingga jannah,” katanya di ruangan komen foto di akaun Instagram Amal. 

Seorang lagi komen, @anies_zakiah berkata, dia berharap Amal dipertemukan dengan lelaki yang jauh lebih baik.

“Amal kuat. Saya doakan semoga Amal dipertemukan Tuhan jodoh yang jauh lebih baik daripada yang sebelumnya,” katanya.

Netizen doakan Amal bertemu jodoh yang lebih baik.

Seorang pengguna, @noraeverdeen berkata, dia percaya personaliti yang dimiliki Amal akan menemui kebahagiaan satu hari nanti.

“Saya doakan Amal bertemu lelaki yang jauh lebih baik daripada sebelum ini. Jangan risau, awak baik, cantik, pandai. Percayalah janji Allah itu pasti. Takpe bersedih, kita manusia,” katanya.

Sebelum ini nama Amal turut menjadi trending di Twitter dengan lebih 17,000 ciapan.

September lalu, Amal menerusi satu kenyataan mendedahkan hubungannya dengan pendakwah itu terlerai selepas kehadiran orang ketiga.

“Hubungan kami diuji dengan kehadiran orang ketiga dan ia adalah kesalahannya sendiri kerana tidak cuba mempertahankan saya. Meletakkan saya sebagai satu pilihan adalah satu hal yang tidak wajar. Apapun anda berhak memilih apa yang anda mahu lakukan dan saya hormat keputusan anda serta cuba menerimanya.

“Saya sentiasa percaya dengan ketentuan Allah. Ada hikmah masa akan datang.  Saya tidak pernah menyesal mengenalinya. Dia pernah menjadi sebahagian daripada hidup saya yang menjadikan siapa saya pada hari ini,” katanya dalam satu kenyataan sebelum ini. 

Bagaimanapun, Amal reda dengan ketentuan yang berlaku dan ingin memulakan hidup baharu tanpa dibayangi kisah silam bersama bekas pendakwah muda itu.

Perkongsian Amal pada September lalu.

Bekas kekasih PU Riz itu tampil memuat naik kenyataan selepas menerima pelbagai kecaman susulan tindakannya mempertikaikan seorang selebriti yang digosipkan dengan pendakwah muda itu.

Tidak semena-mena nama Neelofa dikaitkan netizen walaupun status yang ditulis gadis berkenaan tidak menyebut nama sesiapa.

Pada masa sama, Neelofa menerusi kenyataan yang diberikan pada Oktober lalu enggan mengambil tahu mengenai dakwaan kononnya dia menjadi orang ketiga susulan isu tular membabitkan PU Riz dengan seorang wanita.

“Saya tak tahu dan tak ambil kisah. Seboleh-bolehnya saya tak mahu tambah kebimbangan mengenai hal itu. Saya pilih untuk kunci diri daripada benda-benda tak patut dan tak ada apa yang boleh saya komen,” katanya.

Sumber: Metro