TINDAKAN seorang peniaga yang telah menengking pelakon Nadia Brian di hadapan orang awam semasa di karnival jualan Starvendors di Johor Bahru baru baru ini membuatkan pelakon tersebut berasa sangat kecewa dan malu.
Berikutan kejadian tersebut, Nadia tampil meluahkan rasa kecewanya dan menjelaskan bahawa dia langsung tidak mengenali peniaga tersebut yang juga merupakan pengurus satu jenama pakaian. Pelakon tersebut juga menyatakan bahawa tindakan akan diambil terhadap perbuatan peniaga berkenaan yang telah menularkan video kejadian.
Nadia turut menyifatkan tindakan peniaga tersebut yang menengking beliau semata-mata untuk dijadikan content itu melampau dan memalukan dirinya.
Aktres itu meluahkan rasa kecewanya apabila video tersebut dimuatnaik ke media sosial tanpa persetujuannya, ibarat maruahnya telah digunakan dengan percuma.
Nadia juga menyatakan rasa kesal kerana niat baiknya untuk berniaga dan mencari rezeki ditindas oleh mereka yang pentingkan diri untuk membuat content.
“Saya datang sana untuk berniaga, mencari rezeki! Bukan dengan cara macam ni! Jangan menindas orang lain demi kepentingan diri sendiri walaupun banyak mana pun duit kita. Tak perlu lakukan macam ni walaupun sekadar content!,” kata Nadia, menurut laporan Xtra.
Bagaimanapun pengurus jenama pakaian tersebut yang dikenali sebagai Madam Mariyah, telah tampil membuat permohonan maaf dan menjelaskan yang beliau kesal dengan tindakannya.
Menurut Mariyah, beliau tidak berniat untuk memalukan Nadia dan tidak sedar yang tindakannya itu telah dirakam oleh pekerjanya.
Sumber gambar – Instagram | Sumber laporan – Xtra