USAHAWAN kosmetik kontroversi, Datuk Seri Aliff Syukri sekali lagi mencetuskan perbualan masyarakat apabila tampil dengan video klip lagu raya terbaharu bertajuk ‘Kelepok Raya’.
Meskipun menjurus kepada persiapan Syawal bagaimanapun kemunculan tiga penari lelaki mengundang perasaan kurang senang dengan tema pakaian yang dianggap tidak sesuai.
Selain itu, Aliff Syukri juga tidak ketinggalan mempunyai adegan seksi bersama kesemua penari berkenaan dalam keadaan berbaring sambil memakai baju melayu.
Sejak mula ditayangkan, video klip tersebut mendapat lebih 20,000 tontonan hanya dalam tempoh 2 jam.
Netizen yang kurang senang mula melakukan tugas dan menyerang jutawan kosmetik tersebut selain menganggap bulan suci Ramadan tercemar.
“Sejujurnya saya boleh terima lagu itu. Tetapi konsep muzik video itu begitu tersasar untuk Raya. Tidak perlu penari seperti itu. Saya boleh katakan bahawa ia adalah pencemaran budaya yang tidak sepatutnya wujud,” komen seorang pengguna.
“Memakai songkok dengan rantai dan singlet. Tidak menghormati baju melayu tradisional kita,” kata seorang lagi.
“Lelaki lembut di Malaysia semua selamat, tak kena serang dengan jabatan agama. Yang tak selamat Sajat seorang sahaja,” kata netizen lain dalam nada menyindir.
Manakala seorang netizen di Facebook menyatakan bahawa ini adalah cara halus Aliff untuk mempromosikan budaya ‘sotong’ di Malaysia dengan menyiarkan konsep muzik video yang negatif.
“Budaya negatif mempromosi puak ‘sotong melampau’ dalam kandungan media tempatan. Memualkan! Elok kerajaan atau KKMM ambil tindakan sekat siaran YouTube puak ini. Tak sesuai dengan budaya Islamik dan timur. lebih2 lagi lagu2 dan content berkaitan hari mulia yang disambut umat Islam,” katanya.