Misha Omar Kongsi Perjalanan Rawatan IVF, Rupanya Terima Lagi Banyak Reaksi Negatif

KUALA LUMPUR – Penyanyi Misha Omar enggan berkongsi fasa menjalani rawatan persenyawaan in vitro (IVF) bagi menjaga sensitiviti suami isteri yang disahkan tiada harapan mendapat zuriat.

Katanya, pendedahan berkenaan proses mendapatkan lagi cahaya mata yang dilalui sejak Jun 2021 pernah membuatkan insan lain terluka hingga mendorongnya mengambil pendekatan sebegitu.

“Saya terima pelbagai maklum balas ramai terutama mereka yang masih berikhtiar untuk mendapatkan anak ketika mula-mula menjalani IVF.

“Pada awalnya saya sangka respons positif, sebaliknya banyak reaksi negatif terutama membabitkan wanita yang telah disahkan tidak mampu memiliki zuriat.

“Ada hati terluka. Jadi saya buat keputusan untuk tidak lagi berkongsi mengenai rawatan tersebut bagi menjaga sensitiviti umum,” katanya ketika ditemui pada Konsert Ini Baru Bintang di RTM.

Pada masa sama, penyanyi berusia 41 tahun itu turut menyatakan perjalanan ke arah mendapatkan cahaya mata lagi masih diusahakan di bawah kendalian doktor pakar yang sama.

“Harapan untuk saya memiliki zuriat masih bersemarak dan saya tetap akan berusaha, berlapang dada selain mendoakan supaya semuanya dilancarkan.

“Kita berusaha dan berdoa, selebihnya serahkan kepada Allah kerana Dia sebaik-baik perancang. Andai nanti ditakdirkan saya hamil, tentu boleh nampak dan takkan dapat sorok,” katanya.

Sekitar pertengahan tahun 2021, pelantun Bunga-bunga Cinta itu mendedahkan telah menjalani rawatan kesuburan di sebuah pusat perubatan untuk hamil anak kedua.

Malah, dia turut mencipta tanda pagar #menjejakkhadeja dalam laman sosialnya sebagai rakaman pengembaraan memiliki anak perempuan.

Penyanyi yang bertemu jodoh dengan juruterbang, Firros Ezzwan Rosly pada 2 Mei 2014 dikurniakan seorang anak lelaki, Muhammad Idris Ezzwa yang berumur tujuh tahun.

Selain itu, Misha turut memiliki seorang anak angkat, Muhammad Adam Emir yang kini berusia 17 tahun. 

Sumber: Kosmo